Isu SemasaMalaysiaTempatan

Syarikat E-Hailing Hanya Boleh Mengenakan Komisyen Maksimum 20% Ke Atas Pemandu

Baru-baru ini, kerajaan telah menetapkan bahawa syarikat-syarikat e-hailing hanya boleh mengenakan kadar komisyen maksimum 20% ke atas para pemandu perkhidmatan itu.

Memetik laporan The Star, langkah ini dilaksanakan kerana terdapat sesetengah syarikat e-hailing yang mengambil komisyen terlalu tinggi daripada pemandu, iaitu sehingga 25%.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu kenyataan pada 11 Julai berkata, komisyen maksimum bagi kenderaan persendirian kini ditetapkan pada kadar 20%, manakala bagi pemandu teksi pula adalah 10%.

“Kadar surcaj pula dihadkan kepada dua kali ganda daripada harga tambang saja,” katanya.

Dalam pada itu, syarikat-syarikat e-hailing juga perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai syarat kelayakan untuk permohonan lesen.

Menurut Loke, kenderaan-kenderaan yang mahu digunakan untuk tujuan e-hailing perlu menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) buat setahun sekali apabila kenderaan yang didaftarkan itu sudah mencecah usia tiga tahun dari tarikh pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Semua jenama kenderaan juga perlu mempunyai bertaraf sekurang-kurangnya tiga bintang di dalam ASEAN CAP atau yang setara dengannya,” ujar beliau.

Difahamkan, ASEAN NCAP merupakan program penilaian baru bagi kenderaan di negara-negara Asia Tenggara.

Selain itu, semua syarikat perkhidmatan e-hailing perlu menyediakan perlindungan insurans untuk para pemandu, kenderaan, serta pihak ketiga.

Loke berkata, pemandu juga harus menjalani latihan yang mengambil masa selama tempoh enam jam sahaja dengan bayaran yuran RM200 seorang.

“Modul latihan ini boleh dilaksanakan oleh mana-mana Perniagaan Pengantaraan, syarikat teksi, institut memandu atau penyelia latihan yang ditauliah SPAD/APAD,” jelas beliau.

Untuk menjamin keselamatan pemandu pula, para penumpang turut diwajibkan untuk memuat naik bukti pengenalan diri mereka (MyKad atau pasport) apabila menggunakan perkhidmatan e-hailing menerusi aplikasi telefon pintar.

Bagi pemandu teksi yang berhasrat untuk menyertai e-hailing, kerajaan akan memberi bantuan geran tunai bernilai RM5,000 sebagai modal untuk membeli kenderaan baru atau terpakai.

Pada masa yang sama, pemandu teksi yang sudah tamat tempoh kontrak pajak dengan syarikat teksi juga layak untuk menerima geran ini untuk membeli teksi baru jika mahu terus kekal sebagai pemandu teksi menggunakan lesen individu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, statistik menunjukkan bahawa perkhidmatan e-hailing menjadi semakin popular di Malaysia.

“Jumlah perjalanan meningkat daripada 6 juta sebulan pada tahun 2016 kepada 18 juta sebulan pada tahun ini.

“Terdapat 200,000 pemandu e-hailing berdaftar dan daripada jumlah itu, 50,000 adalah pemandu sepenuh masa. Bagi teksi pula, terdapat 67,000 pemandu di seluruh negara, di mana 52% adalah teksi persendirian,” kata Loke.

Show More

Related Articles

Back to top button