Isu SemasaPolitikTempatan

Sarawak Lebih Bebas Bersuara Menerusi Kerajaan Pimpinan GPS

Pada 12 Jun lalu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah sebulat suara memutuskan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan membentuk gagasan baru, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menerusi GPS, kerajaan negeri dan rakyat kini mempunyai platform yang lebih baik dan kukuh untuk menyuarakan pandangan secara bebas demi melindungi kepentingan Sarawak.

Pada masa yang sama, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, turut memberi jaminan bahawa Sarawak tidak akan keluar daripada Malaysia selepas 55 tahun bergabung membentuk Persekutuan itu.

Namun beliau berkata, ini tidak bermakna rakyat Sarawak tidak boleh menuntut hak undang-undang seperti yang tertakluk di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai gagasan yang “mesra kerajaan persekutuan”, Abang Johari juga mengalu-alukan kerjasama kerajaan negeri dengan pentadbiran kerajaan baru di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) sudah tamat dan kita semua tahu bahawa kita mempunyai kerajaan baru di Putrajaya.

“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berada di Kuching baru-baru ini sempena lawatan rasmi pertama beliau ke Sarawak selepas dilantik menjadi perdana menteri.

“Kami amat berbesar hati untuk menerima kunjungan beliau di Kuching dan (kami) dapat memberi gambaran keseluruhan pembangunan di Sarawak kepada beliau,” katanya.

Memetik laporan Bernama, Abang Johari menyatakan bahawa lawatan Dr. Mahathir ke Sarawak merupakan bukti bahawa GPS mampu mewujudkan hubungan kerjasama yang kukuh bersama kerajaan persekutuan walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza.

Menurut beliau, Sarawak juga memerlukan perhatian kerajaan persekutuan secara konsisten dalam usaha memastikan pembangunan yang lancar demi rakyat Sarawak.

Pada asalnya, Sarawak agak berpuas hati dengan kerajaan persekutuan Malaysia kerana mengotakan janji-janjinya terhadap negeri itu.

Namun lama-kelamaan, janji-janji berkenaan dilihat telah dilanggar tanpa disedari oleh rakyat Sarawak.

“Keselamatan Sarawak daripada pelbagai ancaman telah dijamin dengan bantuan Malaya dan negara-negara Komanwel.

“Tetapi selepas itu, secara sengaja atau sebaliknya, hak-hak Sarawak telah dilanggar tanpa disedari oleh rakyatnya.

“Ini sememangnya telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk Sarawak. Kami percaya bahawa penghakisan kuasa ini perlu di diperbetulkan dan diselesaikan dengan baik menerusi rundingan kerana ketidakpuasan hati tidak bagus untuk kesejahteraan Malaysia secara menyeluruh,” tegas Abang Johari.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker