Isu SemasaTempatan

Pengaruh ‘Influencer’ Media Sosial

‘Social media influencer’ atau pengguna media sosial yang berpengaruh adalah individu yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan sesuatu produk.

Mereka bukan sahaja mempunyai beribu-ribu pengikut di media sosial seperti Instagram dan Facebook malah setiap gambar yang dimuat naik mampu menjana banyak ‘like’.

Hal tersebut telah menyebabkan banyak syarikat serta perniagaan menggunakan pengaruh influencer untuk mempromosikan sesuatu produk kepada pengikut mereka.

Tidak dinafikan betapa besar kuasa individu seperti ini dalam menarik perhatian pengguna lain. Disebabkan itu, banyak syarikat melihat potensi dalam menggunakan influencer untuk melonjakkan lagi nama syarikat.

Sosial Media di Malaysia

Pada masa kini, kadar penembusan telefon pintar adalah 132.9% di Malaysia, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Berdasarkan tinjauan Internet Users Survey 2017, aktiviti utama bagi pengguna media sosial di Malaysia adalah pemesejan (96.3%), melayari media sosial (89.3%) dan mencari maklumat (86.9%),

Daripada mereka yang menggunakan laman rangkaian sosial, 97.3% mempunyai akaun Facebook dan diikuti oleh Instagram dengan 56.1%.

Influencers telah menjadi platform penting bagi sesetengah perniagaan dan banyak perniagaan telah melibatkan mereka dalam strategi pemasaran.

Masa Depan Pemasaran

Dengan masa depan yang semakin bergantung kepada pemasaran digital dan dalam talian, industri harus sedar dengan potensi tersebut.

Apa yang lebih penting adalah individu tersebut menggunakan pengaruh mereka secara positif dan tidak menyalahgunakan populariti mereka.

Bagi perniagaan pula yang, mereka harus membuat penilaian yang baik dalam memilih individu yang sesuai dengan perniagaan mereka.

Individu berpengaruh mempunyai input yang berbeza kerana mereka adalah suara pengguna. Mereka dapat membantu membangunkan kempen dan produk yang lebih baik dan selain itu dapat memberi maklum balas tentang sesuatu produk.

Menerusi mereka juga, perniagaan dapat mencapai komuniti yang sebelum ini sukar untuk dicapai.

Bagi syarikat kosmetik, selalunya mereka akan memilih gabungan selebriti tempatan, influencer besar dan juga mikro kerana ia dapat memberi maklumat yang lebih mendalam mengenai jantina, umur, lokasi, serta dapat memberitahu pengikut palsu.

Biasanya, perniagaan akan menghantar produk kepada influencer untuk mencuba, dan ia terpulang kepada mereka sama ada mereka ingin mempromosikannya atau tidak.

Bagi sesetengah perniagaan keaslian adalah penting. Sekiranya ulasan yang dikeluarkan oleh seorang influencer ditaja, mereka perlu memaklumkan kepada pengikut mereka bahawa ia ditaja.

Biasanya kategori seperti makanan dan minuman, produk kanak-kanak, fesyen, kosmetik dan produk gaya hidup seperti pakej percutian mampu menarik lebih ramai pengguna meggunakan kuasa seorang influencer.

Show More

Related Articles

Back to top button