Sukan

Ozil Bersara Di Pentas Antarabangsa Kerana Layanan Perkauman Dan Tidak Hormat

Mesut Ozil, pemenang Piala Dunia bersama Jerman dan mempunyai 92 penampilan bersama negara itu, bersara daripada pentas antarabangsa berikutan persoalan mengenai gambar yang diambil bersama presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebelum Piala Dunia 2018 bermula.

“Dengan berat hati dan setelah dipertimbangkan selepas perkara yang terjadi baru-baru ini, saya tidak lagi akan bermain untuk Jerman di peringkat antarabangsa sementara saya merasai perasaan perkauman dan tidak dihormati,” kata Ozil di dalam satu kenyataan.

“Saya pernah memakai jersi Jerman dengan penuh rasa bangga dan keseronokan, tetapi sekarang tidak lagi.”

Pemain berusia 29 tahun itu berkeras bahawa gambar itu “tidak mempunyai sebarang niat politik,” dan dia bertemu dengan Erdogan kerana menghormati asal usulnya.

Ozil yang lahir di Jerman daripada ibu-bapanya yang berhijrah dari Turki dijadikan kambing hitam apabila pasukan Die Mannschaff itu tersingkir awal daripada saingan Piala Dunia.

Ozil memetik media tempatan dan Reinhard Grindel, presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB), kerana menjadikan perjumpaan bersahaja itu sebagai bahan propaganda sayap kanan negara itu.

Dengan tekanan yang semakin meningkat, Ozil menolak untuk memberi sebarang komen mengenai gambar itu.

Dia menjadi sasaran ejekan di perlawanan persahabatan pra-Piala Dunia dan membuat keputusan untuk tidak menghadiri taklimat media sebelum berangkat ke Rusia.

Grindel secara terbuka mengkritik Ozil sejurus selepas gambar itu tersebar, dengan berkata: “Bola sepak dan DFB mendukung nilai yang tidak dihormati oleh En. Erdogan secukupnya.”

Gambar itu, yang diambil beberapa hari sebelum pilihanraya Turki, dikongsi di media sosial oleh parti politik Erdogan, yang kemudiannya memenangi pilihanraya itu dengan majoriti 53%.

Erdogan pernah berdepan pertuduhan berhubung hak asasi manusia sejak memegang tampuk pemerintahan pada 2014. Wartawan-wartawan turut terjejas dengan tekanan kerajaan ke atas kebebasan asas mereka, dengan Human Rights Watch melaporkan pada bulan Mei yang lalu, lebih daripada 170 wakil media telah ditahan.

Ozil menegaskan perjumpaannya dengan Erdogan bukan “satu sokongan ke atas mana-mana polisi,” dan mereka hanya berbincang mengenai bola sepak.

Beberapa jenama rakan kongsi turut melepaskan Ozil kerana kontroversi itu. Turut dimuatkan ke dalam kenyataannya itu, playmaker Arsenal itu berkata bahawa dia sudah tidak mampu untuk memenuhi komitmen kepada kanak-kanak imigran di kampung halamannya di Gelsenkirchen.

Ozil mengutuk sekeras-keranya mengenai pengendalian Grindel ke atas isu itu, dan mendakwa kritikan itu berlandaskan perkauman dan ia membuatkan dirinya tidak diingini.

“Di mata Grindel dan penyokongnya, saya adalah seorang warga Jerman apabila kami menang, tetapi saya adalah pendatang apabila kami kalah,” ujar Ozil.

“Ini kerana walaupun perlu membayar cukai di Jerman, menderma kepada kemudahan untuk bola sepak di sekolah-sekolah dan memenangi Piala Dunia pada tahun 2014, saya masih tidak diterima di dalam masyarakat.”

Show More

Related Articles

Back to top button