Sukan

Nazliazmi Pertahan Pemain Muda Selepas Kekalahan Menentang Melaka

Selangor kini telah bermain sebanyak tujuh perlawanan tanpa sebarang kemenangan, tetapi jurulatih Nazliazmi Nasir telah mempertahankan barisan pertahanannya yang dibarisi pemain-pemain muda selepas satu lagi kekalahan di dalam saingan Liga Super.

Pasukan The Red Giants itu sekali lagi tewas apabila mereka tumbang ketika menentang Melaka dengan mata 3-2 di Stadium Hang Jebat pada hari Sabtu yang lepas.

Selangor mendahului perlawanan menerusi Ilham Armaiyn pada minit ke-25 sebelum Yahor Zubovich menyamakan kedudukan buat Melaka pada minit ke-49.

Kugan kemudiannya kembali meletak Selangor di depan pada minit ke-69, tetapi jaringan gol kedua Zubovic untuk malam itu kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-83.

Nicholas Swirad kemudian mengecewakan pasukan pelawat dengan gol kemenangan di waktu kecederaan.

Walapun Selangor bermula garang, tetapi barisan pertahanannya yang kurang berpengalaman roboh akibat tekanan dan menyebabkan mereka dibolosi 2 gol pada minit-minit akhir di dalam perlawanan yang memerlukan Selangor untuk seri bagi menempah tempat di Liga Super untuk musim hadapan.

“Ini adalah bola sepak. Pemain-pemain muda kami bermain dengan baik di separuh masa pertama. Saya terpaksa melakukan pertukaran kerana kecederaan. Gol mereka di waktu kecederaan amat sukar untuk diterima,” ujar Nazliazmi.

“Anak-anak muda ini adalah masa depan Selangor. Walaupun tewas, saya amat berbangga dengan corak permainan mereka. Perjalanan pasukan ini masih jauh. Kita ada dua lagi perlawanan dan kami akan melakukan yang terbaik.”

Kekalahan itu meletakan Selangor 6 mata dari zon penyingkiran, dengan 21 mata selepas 20 perlawanan. Melaka pula berada di tempat ke-7 di dalam liga yang menempatkan 12 pasukan, dengan 28 mata.

Dua pasukan tercorot, Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing berkongsi 15 mata selepas 20 perlawanan.

Selangor selepas ini akan berdepan PKNP di Ipoh pada hari Khamis dan Terengganu di Kuala Lumpur pada 29 Julai.

“Kini kita perlu mengumpul sebanyak mata yang boleh bagi mempertahankan kedudukan kami di liga ini daripada Negeri Sembilan dan Kelantan.

“Saya berharap pemain muda kami boleh melakukannya apabila berdepan PKNP dan Terengganu,” tambah Nazliazmi yang menggantikan jurulatih P. Maniam sejak 3 bulan yang lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button