AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Laman Propaganda Pyongyang Gesa Kerajaan Seoul Tamatkan Perang Korea Dengan Segera

Laman-laman sesawang propaganda Korea Utara telah menggesa Korea Selatan untuk mula melaksanakan perjanjian-perjanjian yang telah dipersetujui ketika sidang kemuncak pada 27 April lalu untuk menamatkan “Perang Korea” dengan segera.

Memetik laporan agensi berita Yonhap, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un telah bersetuju untuk menamatkan peperangan yang berlangsung dari tahun 1950-1953 itu secara rasmi pada tahun ini.

Secara teknikalnya, kedua-dua negara itu masih dalam keadaan berperang di antara satu sama lain kerana pada tahun 1953, Perang Korea hanya berakhir dengan gencatan senjata, dan tiada sebarang bentuk perjanjian damai rasmi yang dilakukan.

Menyifatkan langkah untuk menamatkan peperangan ini sebagai “tugas bersejarah yang tidak boleh dilewat-lewatkan lagi, beberapa laman propaganda Pyongyang telah meningkatkan tekanan ke atas kerajaan Korea Selatan untuk mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu ini.

“Memandangkan kerajaan Korea Selatan juga mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan apa yang telah dipersetujui ketika Pengisytiharan Panmunjom, ia (kerajaan) tidak patut hanya berdiam diri mengenai isu mengisytiharkan pengakhiran peperangan berkenaan.

“Ini merupakan satu tugas bersejarah yang tidak boleh ditangguhkan lagi dalam usaha mewujudkan rejim keamanan yang kukuh dengan menamatkan keadaan gencatan senjata yang tidak normal di Semenanjung Korea,” kata Uriminzokkiri, salah sebuah portal propaganda Korea Utara, merujuk kepada sidang kemuncak yang telah diadakan.

Sementara itu, sebuah lagi laman sesawang propaganda yang dikenali sebagai Meari, turut menzahirkan gesaan mereka terhadap kerajaan Seoul untuk “melakukan bahagian mereka” ke arah pengisytiharan pengakhiran Perang Korea.

Tambahnya lagi, sidang kemuncak bersejarah yang telah diadakan oleh kedua-dua negara itu juga akan “kehilangan makna” sekiranya kerajaan Seoul tidak mengambil apa-apa tindakan.

Menurut pihak pemerhati pula, mesej-mesej yang disampaikan oleh laman propaganda Korea Utara itu menggambarkan ketidakpuasan hati Pyongyang terhadap “tindakan lembab” Korea Selatan untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button