Isu SemasaTempatan

Mimpi Ngeri Apabila Pengasuh Menjadi Pembunuh

Kewujudan khidmat penjagaan kanak-kanak dan pusat asuhan kanak-kanak yang tidak terkawal dalam jumlah yang besar, menjadikannya mustahil bagi kerajaan untuk mengawasi semua pusat itu.

Oleh itu, tanggungjawab mengawasi pengasuh dan pusat penjagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar perlu dikongsi oleh ibu bapa dan masyarakat juga, kata badan penyedia penjagaan kanak-kanak berdaftar di negara ini.

Masyarakat Bertanggungjawab

Presiden Persatuan Penyedia Penjagaan Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia, Norsheila Abdullah berkata ibu bapa dan masyarakat sama-sama bertanggungjawab untuk memerhatikan pusat-pusat tersebut.

“Kerajaan hanya boleh menjalankan tugas mereka apabila pengasuh atau pusat asuhan kanak-kanak didaftarkan,” kata Norsheila kepada The Star.

“Jabatan tidak boleh masuk ke pusat asuhan dan melakukan pemeriksaan. Terdapat prosedur dan undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Jika pengasuh ingin berada dalam industri, mereka mesti belajar melalui saluran yang betul dan mencari cara untuk mendaftar,” tambahnya lagi.

Ramai Yang Hantar Ke Pengasuh Tidak Berdaftar

Norsheila berkata ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat atau pengasuh yang tidak berdaftar seperti jiran mereka sendiri.

Ibu bapa yang berbuat demikian dinasihatkan untuk memeriksa pengasuh terlebih dahulu dan menggalakkan mereka mendaftar dengan kerajaan dan menjalani latihan yang betul.

Kursus Wajib Pengasuh

Norsheila berkata pengasuh bayi yang beroperasi dari rumah harus mengambil inisiatif untuk mengikuti Program Pendidikan Awal Kanak-kanak Permata.

Ini adalah kursus asas wajib untuk pembekal penjagaan kanak-kanak berdaftar dan guru prasekolah swasta untuk memastikan bahawa mereka benar-benar berkelayakan.

Norsheila bercakap bagi mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini untuk mengetatkan undang-undang dalam usaha mencegah kematian bayi akibat kecuaian pengasuh.

Kematian Bayi Dalam Tempoh Tiga Minggu

Dalam tempoh tiga minggu, dua bayi mati semasa berada di bawah penjagaan pengasuh mereka. Kedua-duanya adalah pengasuh yang tidak berdaftar dan menjalankan aktiviti asuhan untuk menambah pendapatan mereka.

Kes pertama adalah pada 3 Julai lalu apabila seorang wanita berusia 33 tahun ditangkap selepas bayi asuhannya yang berusia lima bulan dilaporkan hilang. Polis menemui bayi itu di dalam sebuah peti sejuk di rumahnya di Batu Caves.

Laporan bedah siasat mendedahkan bahawa Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif meninggal dunia akibat pendarahan otak dan keretakan pada tengkorak.

Semalam, kanak-kanak berusia 10 bulan meninggal dunia di Muar selepas terjatuh dari katil bayi di rumah pengasuh. Polis menahan pengasuh berusia 35 tahun untuk membantu siasatan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker