Hiburan

Sekuel Munafik Akan Kembali Menghantui Pawagam

Menerusi sekual kedua filem Munafik, Ustaz Adam yang berani akan kembali beraksi menyelamatkan jiwa manusia yang teraniaya daripada raksasa yang bersifat munafik.

Setelah kehilangan isteri dan anaknya dalam kemalangan tragis dan berjuang dengan jiran jahat yang menggunakan ilmu hitam dalam Munafik, Ustaz Adam kini kembali untuk menentang penunggang agama di sebuah kampung terpencil.

Filem yang menelan belanja RM2.8 juta itu akan disiarkan di 130 pawagam Malaysia bermula 30 Ogos depan dan akan turut menembusi pasaran di Singapura dan Brunei.

Munafik 2 menandakan kerjasama pertama pelakon dan pengarah Syamsul Yusuf bersama pelakon popular Maya Karin yang memainkan watak seorang ibu tunggal yang berani dalam mendedahkan perbuatan munafik penunggang agama terbabit.

Penggambaran Munafik 2 dilakukan selama lebih 60 hari bermula 20 Mac tahun lepas. Penggambaran berlaku di kawasan hijau di sekitar Lembah Kinta di Perak, Kuantan di Pahang serta di sekitar kawasan Lembah Klang.

Walaupun filem tersebut disebut-sebut sebagai thriller, Syamsul lebih suka menyebutnya sebagai cerita rohani dengan “banyak pengajaran penting”.

“Ia pastinya lebih menakutkan daripada filem pertama, tetapi mesej yang ingin disampaikan itu sangat bersifat rohani. Berapa ramai yang menjadi mangsa kepaa mereka yang menggunakan nama Tuhan untuk melakukan kejahatan,” katanya dalam temu bual bersama NST.

“Itulah sebabnya filem ini mengekalkan nama Munafik. Ini mengenai kejahatan manusia, mereka yang munafik dan berpura-pura patuh kepada Tuhan tetapi membahayakan orang lain.”

Munafik 2 yang akan ke Indonesia tiga minggu selepas tayangan perdana di Malaysia, juga menandakan pulangan Asmawi “Mawi” ke layar perak selepas filem fantasi KRU Magika pada tahun 2010.

Pelakon popular Nasir Bilal Khan, yang kali terakhir dilihat menerusi filem arahan Mamat Khalid, Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium pada tahun 2015, digambarkan sebagai penunggang agama yang kejam, Abu Jar.

Syamsul yang memfilemkan pelbagai adegan di kawasan paya bakau, mengaku bahawa telah menyemak semula skripnya sebanyak tiga kali. Untuk memastikan tiada kontroversi timbul, skripnya telah mengikut nasihat dari beberapa orang guru agama.

Kelulusan juga diperolehi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF). Walaupun berpuas hati dengan Munafik 2, mereka menasihatkan Syamsul untuk memotong tiga adegan ringkas yang menunjukkan orang bersolat.

“Saya menjangkakan filem ini mendapat rating 18, tetapi LPF memberikan PG13,” kata Syamsul.

Selepas Munafik 2, Ustaz Adam akan kembali lagi menerusi Munafik 3 dalam masa beberapa tahun akan datang dan dia sekali lagi akan melawan seorang penjahat munafik yang menyalahgunakan nama Tuhan untuk melakukan kejahatan.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button