Isu SemasaMalaysiaPolitikTempatan

Kerajaan PH Diberi Tempoh Setahun Oleh Pembangkang ‘Gentleman’ Untuk Tunaikan Manifesto

Isu pelaksanaan manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh 100 hari telah menjadi topik yang hangat diperdebatkan kerana terdapat segelintir janji yang dianggap mustahil untuk ditunaikan dalam jangka masa yang pendek itu.

Penulis manifesto PH, Wan Saiful Wan Jan turut menyeru pimpinan blok tersebut untuk mengakui bahawa tidak semua janji yang terkandung di dalam manifesto dapat dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) yang memainkan peranan sebagai pembangkang selepas tewas pada PRU14 yang lalu sanggup menjadi ‘gentleman’ dan memberi tempoh masa setahun kepada PH untuk merealisasikan janji-janji mereka.

Malah menurut ketua pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pihaknya juga bersedia memberi tempoh 100 hari tambahan kepada kerajaan untuk membuktikan bahawa pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mampu mengurangkan harga barangan.

Beliau berkata, tempoh tersebut akan bermula menjelang hari penguatkuasaan SST, pada 1 September nanti.

“Kami memberi mereka peluang untuk mengurangkan kos sara hidup kerana mereka berkata bahawa sementara Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah mengumpul melebihi RM44 bilion, SST hanya akan mengumpul RM21 bilion.

“Teorinya (pada pandangan kerajaan) adalah peralihan kepada SST akan memanfaatkan rakyat dengan mengurangkan beban kos sara hidup yang tinggi. Kami akan tunggu,” katanya.

Memetik laporan The Star, Dr. Ahmad Zahid telah membaca analisis beberapa ahli ekonomi yang membandingkan GST dengan SST.

Difahamkan, GST kini dilaksanakan di lebih 160 negara di serata dunia, sementara SST adalah sistem cukai yang digunakan di negara-negara yang kurang membangun.

Dalam pada itu, beliau mendakwa bahawa kerajaan terdahulu di bawah pimpinan BN telah melaksanakan 99% janji di dalam manifesto PRU sebelum ini.

“Sebagai kerajaan, bagaimana anda tidak dapat memenuhi dan melaksanakan manifesto sendiri? Mereka tidak boleh hanya menyalahkan kerajaan terdahulu.

“Dulu, kami mempunyai jawatankuasa khas untuk memantau pelaksanaan manifesto kami,” katanya sambil menambah bahawa Pembangkang kini akan mengawasi pelaksanaan janji-janji PH.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker