Isu SemasaMalaysiaTempatan

‘Abang Mat’ Dan Sukhoi SU-30MKM Terbang Tinggi Di Udara

Tarikh 7 Julai 2018 menandakan hari yang istimewa buat Menteri Pertahanan baharu Malaysia, iaitu YB Mohamad Sabu, yang juga lebih mesra dikenali sebagai Mat Sabu atau Abang Mat.

Pada hari tersebut, beliau berpeluang untuk terbang tinggi di udara dengan menaiki Sukhoi Su-30MKM, yang merupakan salah satu jet pejuang tercanggih di dalam inventori Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menyifatkannya sebagai “pengalaman yang berharga”, penerbangan itu juga merupakan yang pertama bagi Abang Mat sejak beliau mengangkat sumpah sebagai menteri pada bulan Mei lalu.

APAKAH ‘MISI’ ABANG MAT?

Memetik laporan New Straits Times, sesi penerbangan ini dilakukan sempena lawatan rasmi Mat Sabu ke Pangkalan Udara Gong Kedak di Terengganu, yang turut dikenali sebagai “Home of the Flankers”, merujuk kepada gudang pesawat tempur tersebut.

Kunjungan rasmi ini adalah sebahagian daripada beberapa siri lawatan beliau ke semua tiga cawangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas dilantik menjadi Menteri Pertahanan.

Difahamkan, salah satu ‘misi’ utama beliau adalah untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai bagaimana anggota-anggota tentera yang terdiri daripada lelaki dan wanita melaksanakan tugas, kesediaan mereka, dan juga untuk mengetahui secara langsung isu-isu yang dihadapi oleh mereka.

PERSEDIAAN SEBELUM PENERBANGAN

Sebelum bermulanya sesi penerbangan bersejarah itu, Mat Sabu telah menjalani saringan kesihatan fisiologi secara menyeluruh yang dikendalikan oleh Pegawai Perubatan Pangkalan, Kapt (Dr) Adif Faidz bin Daud.

Walaupun sudah berusia 64 tahun, tekanan darah Abang Mat dilihat amat stabil, dan jantungnya juga berdegup pada kadar 70 degupan setiap minit, sekali gus menunjukkan bahawa beliau mempunyai jantung yang normal, sihat, serta layak untuk ‘beraksi’ di udara.

Selepas selesai sesi pemeriksaan kesihatan, beliau diberi taklimat mengenai prosedur keselamatan dan kecemasan ketika berada di dalam jet seperti kerusi lenting (ejection seat), peralatan sokongan hayat dan sebagainya.

Kemudian, Abang Mat disarungkan dengan helmet penerbangan, topeng oksigen Ulmer SU30 UECT82VB, dan peralatan yang paling mustahak sekali, iaitu sut penerbangan PPK-3P-12M G-suit.

PENGALAMAN LUAR BIASA DI UDARA

Jet pejuang yang dinaiki oleh Abang Mat diberi gelaran “Jengking 2”, dan ia dikendalikan oleh Lt Col Mohd Jasmi Abdul Wahab, 47, yang turut dikenali sebagai ‘Pmad’ (Pak Mat).

Selain daripada jet Abang Mat, sebuah lagi jet dengan gelaran “Jengking 1” yang dikendalikan oleh seorang lagi juruterbang turut ‘beraksi’ di ruang udara.

Walaupun duduk di kerusi belakang, Abang Mat telah diberi peluang oleh Pmad untuk cuba mengawal jet itu ke arah kiri dan kanan dengan menggunakan sistem kawalan penerbangan quadruplex digital fly-by-wire (FBW).

Pada asalnya, beliau dilihat mengalami kesukaran untuk menggunakan sistem itu, tetapi Abang Mat dapat menyesuaikan diri dengan pantas.

Apabila jet sudah mencecah ketinggian 1,000 kaki di udara, Pmad memberitahu Abang Mat untuk melakukan “check six” (periksa belakang pesawat) untuk melihat sama ada Jengking 1 berada di belakang mereka atau tidak.

“Mana dia? Oooo… okay, okay…. Nampak dah,” kata Abang Mat.

Selepas itu, Jengking 1 bergerak rapat ke belah kanan Jengking 2 untuk melakukan “close formation.”

“Tak berlanggaq ka?” tanya beliau kepada Pmad.

“Daaak aih, YB. Yang ni normal…..kami semua dah dilatih untuk buat close formation,” jawab Pmad.

“Ooo…. Okay, okay. Nampak besaq noooh, kapai,” balas Abang Mat.

Selain itu, Menteri Pertahanan berkenaan turut diberi peluang untuk menyaksikan sendiri taktik yang digunakan oleh juruterbang jet pejuang untuk mengelak daripada dikesan oleh radar musuh.

Pada hari yang sama selepas selesai sesi penerbangan, beliau telah memuat naik status di laman Facebook rasminya dengan caption yang ringkas, namun itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa hebatnya pengalaman beliau ketika sedang terbang tinggi di udara.

“‪Penerbangan pesawat pejuang TUDM bersama dengan juruterbang pesawat Sukhoi Su-30MKM (M52-14), Lt Col Jasmi.‬ Satu pengalaman baru hari ini.” – YB Mat Sabu

Show More

Related Articles

Back to top button