Isu SemasaMalaysiaPolitikTempatan

Tidak Semua Manifesto Pakatan Harapan Dapat Dilaksanakan

Menjelang setiap Pilihan Raya Umum, setiap parti politik akan mengemukakan manifesto masing-masing bagi “memenangi hati rakyat” dan juga untuk menentukan hala tuju negara bagi tempoh lima tahun seterusnya.

Manifesto, tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri, di mana akan tetap ada sesetengah janji yang mungkin tidak akan dapat direalisasikan.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan, menyatakan bahawa kepimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu berani untuk mengakui bahawa tidak semua janji yang terkandung di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mampu ditunaikan.

“Mana senang, kita laksanakan, yang mana mencabar sikit-sikit, kita kena usahakan dan yang betul-betul tidak boleh dilakukan kerana ada kekangan.

“Maka kita kena berani mengaku, inilah realitinya,”

Wan Saiful yang juga penulis manifesto PH berkata, beliau baru sahaja berjaya menguruskan hanya 1 daripada janji-janji berkenaan, namun ia ternyata memakan masa yang panjang.

“Saya ni baru uruskan 1 daripada janji, dan saya kasihan kepada menteri yang menguruskan 10 hingga 20 janji, sedangkan 1 janji sahaja memakan masa berminggu-minggu untuk lakukan.

“Hingga ke hari ini, saya masih tidak mampu lakukan, tetapi akan terus mencuba,” kata beliau.

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Wan Saiful menyatakan bahawa manifesto PH wajar untuk dipinda memandangkan maklumat terkini dan data berkaitan ekonomi boleh diperoleh selaras dengan perkembangan semasa.

Ketika merangka draf manifesto PH, beliau juga pernah meluahkan kebimbangannya kepada kepimpinan parti bahawa walaupun manifesto ini tidak mendatangkan masalah semasa kempen, ia akan menjadi satu cabaran selepas ketika hendak menunaikannya.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut mengakui bahawa sebahagian daripada janji yang terkandung dalam manifesto PH bersifat populis, khususnya 10 janji pertama bagi tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan baru.

Walau bagaimanapun, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu yakin ianya berbaloi untuk dilakukan demi memastikan negara berada di landasan yang sewajarnya.

“Jika ada pihak yang menuduh Buku Harapan adalah populis, maka 10 janji pertama mungkin boleh dikatakan populis, hinggakan saya sendiri pada asalnya tidak selesa menulisnya.

“Bagi saya, 10 janji pertama adalah harga kecil yang perlu dibayar demi memastikan sekitar 90 janji lain (50 dalam Teras dan 40 dalam Iltizam Khusus) dapat dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, terdapat juga maklumat yang tidak mencukupi ketika sedang merangka Teras 1 dalam draf manifesto, yang memfokuskan isu ekonomi dan kewangan negara.

Namun menurut beliau, tiada sebarang masalah yang dihadapi dalam Teras-teras lain kerana bahan rujukan boleh diperoleh daripada jurnal atau penulisan akademik yang lain.

“Kita tidak dapat data untuk tahu berapakah nilai jumlah hutang dalam kerajaan, kerana kita tidak boleh akses data berkenaan, bahkan tidak diberikan peluang untuk akses.

“Contohnya, sewaktu saya lakukan draf dalam manifesto, saya tidak ada idea berapakah jumlah peminjam PTPTN yang mempunyai pendapatan bawah RM4,000 sebulan.

“Hingga kini, apabila saya dilantik sebagai pengerusi, saya tanya PTPTN mereka sendiri juga tidak tahu kerana kita tidak ada data untuk perkara tersebut,” jelasnya.

Oleh yang demikian, Wan Saiful menyeru agar kerajaan PH mempertimbangkan permohonan supaya tidak menafikan hak pembangkang dari Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Sejahtera untuk mendapatkan akses terhadap data kerajaan menjelang PRU pada masa akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button