Teknologi

OpenPromises: Teknologi Untuk Memantau Janji Ahli Politik

Seorang belia Malaysia kini sedang menerajui teknologi civik bertujuan untuk memastikan ahli-ahli politik bertanggungjawab terhadap janji-janji mereka.

Nazreen Mohamad, 25, adalah pengasas OpenPromises Malaysia, sebuah projek bukan partisan yang merekodkan dan memantau janji yang dibuat oleh ahli politik.

“Kami percaya bahawa teknologi boleh memberi impak besar kepada tadbir urus dan demokrasi. Teknologi boleh mengubah dunia, dan kami mahu menjadi sebahagian daripada itu,” kata Nazreen kepada The Star.

Halaman utama OpenPromises menyenaraikan 14 ahli politik yang terdiri daripada Menteri Kabinet, ahli parlimen, dan ketua menteri, beserta perincian janji yang telah dibuat seperti yang dilaporkan oleh media.

Laman web ini juga memantau kemajuan setiap janji, sama ada ia ‘sedang berjalan’, ‘dicapai’, ‘tidak dimulakan’, ‘ditarik balik’ atau ‘dimungkiri’.

Di Facebook, kumpulan OpenPromises Malaysia Watchers dipenuhi dengan pandangan pendapat, perbincangan, dan ahli yang mencadangkan janji baru dan yang dimungkiri atau dipenuhi untuk dikemas kini di platform rasmi.

OpenPromises adalah pasukan tidak berkeuntungan yang diuruskan oleh empat orang muda Malaysia yang secara sukarelanya menyumbang kepakaran dan masa untuk mendidik masyarakat tentang politik.

Nazreen berpusat di Kuala Lumpur, seorang pengurus media sosial berpangkalan di Singapura, seorang lagi pengaturcara berpangkalan di Jakarta manakala pereka visual mereka adalah pelajar yang berpejabat di Jerman. Keempat-empat mereka berumur di bawah 30 tahun.

Nazreen berkata proses pembuatan projek itu mengambil masa tiga tahun. Percubaan pertama untuk melancarkan laman web itu dilakukan pada Mei 2016 dan kali kedua pada Mei 2017, tetapi gagal kerana kekurangan sumber dan kemahiran teknikal, sehinggalah percubaan ketiga pada November 2017 ketika akhirnya dia menemui orang yang tepat untuk membuat projek itu menjadi kenyataan.

Image result for openpromises nazreen mohamad

Nazreen melihat OpenPromises sebagai platform untuk rakyat Malaysia yang muda dan tua untuk mendapatkan maklumat, berbincang dan diharapkan mengambil tindakan dengan mengambil bahagian dalam demokrasi.

Walau bagaimanapun, cabarannya yang paling besar adalah untuk mengesan semua laporan yang berbeza dan kenyataan yang dikeluarkan.

“Janji adalah modal politik untuk mendapatkan sokongan, tetapi apabila mereka berkuasa, tidak ada sistem untuk memantau perkembangan janji mereka,” kata Nazreen.

Walau bagaimanapun, bukan semua ulasan ahli politik dilaporkan sebagai janji. Pasukan OpenPromises meninjau setiap janji dan menilainya mengikut senarai kriteria, sebelum merekodkannya di laman web.

“Sebagai contoh, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berjanji untuk mengurangkan harga jalur lebar sebanyak 25% menjelang akhir tahun ini. Janji ini boleh diukur, mempunyai garis masa, relevan dan boleh dilakukan, dan kami menambahnya ke laman web,” katanya.

Sehingga 11 Julai, laman web itu telah mencatatkan 199 janji, termasuk yang dijanjikan dari manifesto Pakatan Harapan, tetapi Nazreen berkata ia bukan senarai yang lengkap.

Hasrat Nazreen adalah untuk menjadikan OpenPromises sebagai platform yang bukan sahaja boleh memantau janji menteri-menteri Persekutuan, tetapi juga janji-janji exco kerajaan negeri di seluruh negara.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button