AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Hong Kong: Pemandu Teksi ‘Samseng’ Akan Terima Padahnya

Hukuman yang lebih berat kini menanti pemandu-pemandu teksi di Hong Kong yang berkelakuan seperti ‘samseng’.

Memetik laporan Straits Times, kerajaan Hong Kong bercadang untuk memperkasakan hukuman ini dalam usaha membersihkan imej serta reputasi industri teksi yang sudah tercalar disebabkan tindakan-tindakan pemandu yang tidak beretika.

Difahamkan, badan perundangan bandar berautonomi itu akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara berkenaan pada 25 Julai ini.

Di bawah undang-undang 24 kesalahan trafik sedia ada, hukuman ke atas pesalah hanyalah bayaran denda bernilai HK$2,000 sehingga HK$10,000 serta hukuman penjara selama 6 bulan.

Sekiranya melanggar 5 daripada 24 kesalahan itu pula, lesen milik pemandu teksi akan ditarik oleh pihak berkuasa.

Kini, undang-undang baru memperuntukkan hukuman yang lebih berat sekiranya pemandu teksi didapati melakukan kesalahan-kesalahan termasuk:

1. Mengenakan caj tambang berlebihan kepada penumpang

2. Enggan mengambil penumpang

3. Mengubah meter teksi

Jika didapati bersalah buat kali pertama, pemandu teksi terbabit perlu membayar denda maksimum bernilai HK$10,000 dan penjara selama tempoh 6 bulan.

Namun sekiranya kesalahan berulang lagi, bayaran denda akan ditingkatkan kepada HK$25,000 dan akan meringkuk dalam penjara selama 12 bulan atau setahun.

Segala salah laku juga akan diukur dengan menggunakan sistem merit baru.

Bagi enam kesalahan besar yang utama, pemandu teksi akan diberi 10 mata merit di atas setiap satu kesalahan yang dilakukan..

Kesalahan-kesalahan yang “kurang serius” seperti tidak memberi resit kepada penumpang pula akan dikenakan 5 mata merit.

Tetapi sekiranya seseorang pemandu itu menerima lebih daripada 15 mata merit dalam tempoh dua tahun, mahkamah boleh menghilangkan kelayakannya untuk membawa teksi serta menggantung lesen selama tiga bulan, atau enam bulan sekiranya kesalahan kerap berulang.

Dalam pada itu, masalah pemandu teksi di Hong Kong turut menyaksikan peningkatan yang membimbangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kes-kes salah laku membabitkan perkhidmatan teksi dilaporkan telah meningkat sebanyak 16% daripada 9,306 kes pada tahun 2013 sehingga 10,759 kes pada tahun lepas.

Daripada semua kes tersebut, 25% adalah keengganan pemandu teksi untuk mengambil penumpang, sementara 18% pula menyaksikan kes pemandu yang tidak berkelakuan baik.

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close