Gaya HidupIbu dan AnakKesihatan

Bagaimana IbuBapa Boleh Mengenal ADHD Pada Anak

ADHD merupakan singkatan kepada attention deficit hyperactivity disorder. Menurut Dr. Selvasingam Ratnasingam dalam penulisan di The Malaysian Medical Gazette, ia merupakan gangguan kanak-kanak yang biasa ditemui dan boleh berterusan sehingga usia remaja dan dewasa.

Walaupun statistik ADHD di kalangan kanak-kanak Malaysia tidak diketahui tetapi NHMS 2011 (Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011) menunjukkan yang 1 dalam 5 kanak-kanak Malaysia mengalami masalah psikiatri.

6 Petanda Kanak-kanak ADHD

  1. Sukar beri tumpuan

Kesukaran menumpukan perhatian atau bersusun atur atau menyiapkan tugas atau mempelajari perkara baru. Kanak-kanak yang tiada tumpuan tampak tidak mendengar apabila kita bercakap dengannya, berangan, mudah keliru dan bergerak lambat-lambat. Mereka sukar memproses maklumat secepat dan setepat yang lain dan payah menurut arahan.

2. Mudah teralih perhatian

Terlepas perincian, lupa perkara dan kerap bertukar-tukar aktiviti, sukar fokus kepada satu-satu perkara, melainkan perkara yang dinikmati.

3. Cepat bosan

Mereka menjadi bosan dengan satu tugas hanya selepas beberapa minit, mengalami masalah melengkapkan atau menghantar kerja sekolah, selalu kehilangan benda yang perlu untuk menyiapkan tugas.

4. Hiperaktif

Tidak senang duduk dan berkisar di kerusi, tak henti-henti bercakap, berlari ke sana ke sini, menyentuh atau bermain apa-apa sahaja yang boleh dicapai, sukar duduk tetap semasa makan, sekolah atau berkisah, sentiasa bergerak dan sukar membuat tugasan atau aktiviti yang senyap-senyap.

5. Sangat tidak sabar

Menjawab dengan gelojoh, komen tidak sopan, menunjukkan emosi tanpa tapisan dan tindakan tanpa memikirkan akibat, sukar menunggu perkara yang dihajati atau menunggu giliran dalam permainan dan kanak-kanak ini sering menyampuk perbualan atau aktiviti lain.

6. Sukar tidur malam

Tubuh mereka sering gelisah, berpusing sini dan sana kerana cuba mengaktifkan diri walaupun pada waktu tidur malam. Ini menyebabkan mereka sering terjaga dan gelisah sehingga tidak mendapatkan tidur yang sepatutnya pada waktu malam.

Lelaki VS Perempuan

Kanak-kanak lelaki berisiko empat kali ganda mendapat ADHD berbanding perempuan.

Telefon Pintar Boleh Menyebabkan ADHD?

Kajian baru yang diterbitkan di Journal of the American Medical Association pula menemui tingkahlaku ADHD di kalangan remaja yang kerap menggunakan sosial media, streaming video, mesej, muat turun muzik atau sering menggunakan internet telah dilaporkan mengalami tanda-tanda ADHD iaitu sukar menghabiskan sesuatu tugasan.

Walaupun kajian ini adalah berdasarkan respond kaji selidik, para pengkaji masih belum dapat membuktikan penggunakan telefon pintar memang menyebabkan ADHD tetapi patut diambil kira untuk kajian lanjutan.

Apa Yang Terjadi Sekiranya Tidak Dirawat?

Jika penyakit ini tidak dirawat, 60% daripada individu ini akan membesar sebagai orang dewasa yang bermasalah sehingga mendorong mereka melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Oleh itu, rawatan segera perlu dilakukan.

Rawatan ADHD

Sekiranya anda merasakan anak-anak anda mengalami petanda ADHD, anda bolehlah membawa anak anda berjumpa doktor psikiatri kanak-kanak atau pun doktor perkembangan kanak-kanak untuk penilaian lanjut dan rujukan.

Tiada rawatan tunggal khusus untuk satu-satu kanak-kanak dan pelan perawatan yang bagus melibatkan pemantauan rapi, rawatan lanjutan dan membuat perubahan-perubahan jika perlu.

Dalam kebanyakan kes, ADHD sebaik-baiknya dirawat dengan kombinasi ubat dan terapi perilaku.

Show More

Related Articles

Back to top button