AntarabangsaIsu SemasaMalaysia

Anggota Militan Wanita Semakin Radikal Dan Berbahaya

Anggota militan wanita yang berada di Malaysia dilihat menjadi semakin radikal, sama seperti pejuang-pejuang lelaki.

Terdahulu, militan wanita hanya memainkan peranan yang ‘lembut’ dalam sel-sel pengganas IS, namun mereka kini mengambil ‘tanggungjawab’ yang lebih besar seperti merancang dan melancarkan serangan keganasan bersenjata.

Memetik laporan Bernama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, peranan wanita di dalam kumpulan pengganas sebelum ini melibatkan tugas-tugas ringan seperti:

1. Mencari dan mengumpul dana

2. Mempromosikan keganasan

3. Merekrut pejuang-pejuang baru. 

Menurut Ayob, kaum hawa menjadi sasaran IS kerana mereka lebih cenderung untuk terpengaruh dan ini memudahkan kumpulan itu untuk memperdaya mereka agar menerima ideologi pengganas, khususnya menerusi media sosial.

“Kami (polis) mendapati mereka (wanita) memainkan peranan yang kurang signifikan atau hanya untuk menyokong, tetapi mereka kini didapati terlibat dalam perkara-perkara yang lebih serius seperti kegiatan keganasan.

“Kami amat bimbang dengan ‘trend’ baru ini,” kata beliau.

Salah satu kes terbaru menyaksikan seorang wanita berusia 51 tahun yang ditahan oleh pihak polis ketika hari mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14, pada 9 Mei lalu.

Menurut Ayob, wanita militan itu ditangkap hanya beberapa jam sahaja sebelum dia mahu melancarkan serangan keganasan, dengan melanggar sebuah pusat mengundi di Puchong menggunakan kenderaan.

“Ini merupakan kes pertama membabitkan wanita yang mahu cuba melancarkan serangan sedemikian di Malaysia.

“Dia mendapat idea itu daripada serangan-serangan serupa yang dilancarkan oleh militan di luar negara. Kami menangkapnya tepat pada masa dan ini menunjukkan mereka (wanita) mampu melakukan kegiatan tersebut,” katanya.

Difahamkan, seramai 403 anggota militan telah ditahan sejak tahun 2012, dan 43 daripada jumlah itu adalah wanita.

“Ini adalah jumlah yang agak besar membabitkan wanita dan jika kita tidak melakukan pemantauan, mereka mampu melancarkan serangan bersenjata secara besar-besaran,” tegas Ayob.

Dalam pada itu, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman juga telah menahan seorang wanita beberapa hari yang lalu kerana membiayai kegiatan pengganas di luar negara.

Walau bagaimanapun setakat ini, masih tiada kanak-kanak di Malaysia yang menyertai kumpulan militan seperti yang berlaku di negara-negara lain.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker