AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Sikap ‘Terlalu Terbuka’ Bakal Presiden Mexico Berpotensi Mengancam Kestabilan Negara

Ahli politik veteran Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador telah meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum negara itu pada 1 Julai lalu.

Bakal mengambil alih jawatan presiden pada 1 Disember nanti, Lopez Obrador yang lebih popular dikenali sebagai “AMLO” berikrar untuk melaksanakan ‘pembaharuan radikal’ demi menjaga kepentingan, keselamatan dan kebajikan rakyatnya.

Langkah-langkah ini termasuk memerangi gejala rasuah serta menghapuskan “kuasa mafia” yang membabitkan kes pembunuhan dan dadah.

Sebagai langkah penjimatan negara pula, AMLO memutuskan untuk menolak semua keistimewaan yang patut diterima oleh seseorang presiden seperti kediaman rasmi, penggunaan jet peribadi, dan pengawal keselamatan peribadi.

Bukan itu sahaja, malah beliau juga berhasrat untuk memotong gajinya sendiri sebanyak separuh.

“Biarpun saya tidak mempunyai pakaian untuk dipakai (pada satu hari nanti), langkah penjimatan (negara) akan tetap dilaksanakan,” katanya.

PEMIMPIN “BERJIWA RAKYAT”

Sejak pilihan raya lagi, ahli politik berusia 64 tahun itu telah menjelajah sekitar Bandar Mexico dengan memandu kenderaannya jenis Volkswagen Jetta.

Sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, beliau membenarkan semua orang, termasuk wartawan dan para peminat untuk mendekati dirinya.

Terdapat juga segelintir peminat yang mencerobohi perimeter keselamatan di Istana Negara Mexico (kediaman rasmi presiden) pada dua minggu lepas, ketika AMLO tiba di sana untuk bertemu dengan Presiden Enrique Pena Nieto yang akan tamat perkhidmatan tidak lama lagi.

Salah seorang wanita yang berjaya ‘menembusi’ kawalan tentera dan polis terus menuju ke arah beliau lalu memeluk dan menciumnya di bahagian pipi.

“Biar perkara ini jelas. Saya tidak mahu pengawal keselamatan peribadi. Ini bermakna, rakyat yang akan menjaga saya.

“Saya cuma berharap mereka (rakyat) tidak ‘menghancurkan’ saya,” kata AMLO dengan nada bergurau.

PAKAR KESELAMATAN KRITIK PENDEKATAN AMLO YANG ‘TERLALU TERBUKA’

“(Pendekatan) ini adalah satu kesilapan besar. Ia amat pelik dan tidak strategik,” kata Alejandro Hope, seorang perunding keselamatan dan bekas ejen perisikan Mexico.

Tegas beliau, isu ini lebih besar daripada AMLO kerana ia turut melibatkan kesejahteraan ahli keluarganya, kerahsiaan komunikasi dan maklumat, serta keselamatan individu-individu penting lain dari negara lain yang datang ke Mexico atas urusan rasmi.

Sementara itu, soal keselamatan turut menjadi kebimbangan utama pasukan bakal presiden itu sendiri.

“Pentadbiran presiden Mexico perlu mempunyai sistem keselamatan yang baik untuk melindunginya, kerana tadbir urus dan kestabilan negara menjadi pertaruhan,” kata Olga Sanchez, calon pilihan AMLO yang akan memegang jawatan Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan baru nanti.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button