AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Pelajar Asing Kini Dilarang Untuk Jadi “Intern” Kepada Ahli Parlimen Australia

Baru-baru ini, kerajaan Australia telah menguatkuasakan peraturan baru yang melarang mana-mana warga asing untuk bekerja sebagai pelatih industri (intern) kepada anggota-anggota parlimen negara itu.

Memetik laporan Reuters, larangan tersebut telah diumumkan oleh seorang jurucakap Senat pada 12 Julai minggu lepas, dan ia merupakan sebahagian daripada langkah pembaharuan untuk menyekat campur tangan pihak asing, khususnya China, dalam urusan hal ehwal Australia.

Sebelum ini, program menjadi intern kepada anggota parlimen terbuka untuk belia daripada mana-mana negara, asalkan pemohon “bersih” dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Latihan Industri (Internship) di Parlimen kini terhad kepada rakyat Australia sahaja,” kata jurucakap yang mewakili presiden Senat, iaitu Senator Scott Ryan.

Tahun lepas, Perdana Menteri Australia, Malcom Turnbull telah menuduh China cuba masuk campur dan mempengaruhi hala tuju proses politik negaranya.

Bukan itu sahaja, malah kerajaan turut mengambil langkah mengharamkan sebarang bentuk derma politik dalam usaha membendung campur tangan asing dalam arena politik tempatan.

Namun, China menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai “tidak berasas”. Insiden ini juga turut menyebabkan hubungan di antara kedua-dua negara itu menjadi tegang.

Sementara itu, akhbar Financial Times pada September lepas melaporkan bahawa seorang rakyat New Zealand yang pernah menjadi intern kepada jawatankuasa anggota parlimen Australia, mempunyai kaitan dengan sebuah sekolah perisik tentera China.

Pelajar-pelajar China juga dilaporkan kerap membuat permohonan untuk menyertai program intern berkenaan dan beberapa tahun sebelum ini juga menyaksikan ramai pelajar negara itu yang telah bekerja sebagai pelatih.

Pada bulan lepas pula, Australia telah meluluskan sebuah undang-undang yang direka khusus untuk menghalang campur tangan kerajaan-kerajaan asing.

Turnbull berkata, undang-undang ini amat diperlukan untuk “menangani campur tangan China.”

Di bawah undang-undang berkenaan, pelobi negara-negara asing diwajibkan untuk berdaftar dan mereka boleh didakwa melakukan kesalahan jenayah sekiranya didapati masuk campur dalam hal ehwal negara.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker