Isu SemasaMalaysiaTempatan

Rupa-Rupanya, Jiran Yang “Pendiam” Adalah Bekas Anggota Militan

Awal bulan ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun ke atas bekas anggota militan Abu Sayyaf warga Filipina, iaitu Hajar Abdul Mubin.

Namun sepanjang Hajar menetap di pangsapuri Desa Baiduri, Cheras sejak tahun 2015, tiada seorang pun jirannya yang mengetahui latar belakangnya sehinggalah dia ditangkap oleh polis pada 30 Ogos 2017, iaitu beberapa jam sebelum majlis penutup Temasya Sukan SEA ke-29.

Memetik laporan The Star, Hajar yang turut dikenali sebagai “Abu Asrie”, merupakan bekas anggota kumpulan Abu Sayyaf yang bertapak di Basilan, Filipina.

Dia adalah anak saudara kepada Furuji Indama, iaitu ketua bagi salah satu puak militan itu di Basilan.

Ketika Hajar dijatuhkan hukuman penjara pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi turut menjatuhkan hukuman penjara selama 3 tahun ke atas abang iparnya, Abdul Syamir Dabilin, 25, kerana tidak mendedahkan maklumat mengenai kegiatan keganasan, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 130M Kanun Keseksaan.

JIRAN-JIRAN TERKEJUT BESAR

Terdapat juga segelintir penduduk yang tidak sedar akan operasi tangkapan yang dilancarkan oleh polis di pangsapuri berkenaan.

Salah seorang jiran bernama Laila Ismail berkata, kebanyakan penduduk di flat ini hanya melakukan urusan masing-masing dan tidak berapa ambil tahu mengenai siapa yang tinggal di sebelah rumah.

“Kami hanya melakukan urusan sendiri. Kami balik ke rumah dan terus tutup pintu, begitu sahaja,” katanya.

Namun menurut Nurul Shuhada, yang juga jiran kepada Hajar, ramai orang selalu keluar masuk daripada rumah bekas militan itu.

“Mereka suka berbual. Apabila saya membuat kerepek di luar, mereka suka berbual dengan saya dan bertanya tentang kuih yang saya buat.

“Saya terkejut apabila terdengar bahawa mereka sebenarnya pernah bersama Abu Sayyaf….kerana mereka sangat mesra dengan jiran tetangga,” kata suri rumah berusia 26 tahun tersebut.

Difahamkan, individu yang kerap datang ke rumah Hajar adalah saudara maranya, daripada kumpulan etnik Yakan di Basilan.

Dalam pada itu, seorang lagi jiran, Zulkifli Abu Talib, 57, berkata, komuniti Yakan yang menetap di pangsapuri Desa Baudiri amat rapat di antara satu sama lain.

“Kami ingatkan mereka adalah warga Sabah…..Mereka tidak bertutur dalam Bahasa Malaysia; tetapi dengan menggunakan bahasa mereka tersendiri,” kata Zulkifli, pesara tentera udara.

HAJAR AKAN DIBUNUH OLEH MILITAN JIKA MASIH BERADA DI FILIPINA

Sementara itu, adik perempuan Hajar bernama Rosmawati menyatakan bahawa abangnya telah datang ke Kuala Lumpur untuk melarikan diri daripada Abu Sayyaf kerana jika tidak, dia akan dibunuh oleh kumpulan itu.

Rosmawati juga tidak menafikan bahawa Hajar telah terlibat dalam kumpulan militan, namun wanita berusia 22 tahun itu berkata, abangnya telah insaf dan “meninggalkan kehidupan lama di selatan Filipina” dan berhasrat untuk membina hidup baru di Malaysia.

“Jika anda keluar daripada kumpulan Abu Sayyaf, mereka akan membunuh anda.

“Jadi dia (Hajar) membuat pilihan. Jika dia kekal di Filipina dan mereka (militan) menjumpainya, dia akan dibunuh. Jadi dia melarikan diri ke sini,” katanya.

Menurut Rosmawati, abangnya sudah pun berkahwin pada tahun 2015 dan kini mempunyai seorang anak perempuan yang berusia lima bulan.

Tambahnya lagi, Hajar juga adalah seorang individu yang pendiam dan amat jarang untuk keluar bersama rakan-rakannya.

Bukan itu sahaja, malah ujar Rosmawati, abangmya lebih gemar untuk berada di rumah dan menunaikan ibadah serta membaca Al-Quran.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker