Sukan

Croatia Kembali Ke Realiti Suram Selepas Kempen Piala Dunia Yang Menakjubkan

Ia adalah perjalanan yang mengkagumkan dan ianya begitu hampir untuk menjadi juara dunia, tetapi bagi Croatia kini mereka perlu kembali ke realiti bola sepak negara yang dibelenggu skandal dan infrastruktur yang mencurigakan.

Dengan Luka Modric yang besar kemungkinan telah bermain di peringkat antarabangsanya yang terakhir pada umur 32 tahun, dan beberapa lagi rakan sepasukannya termasuklah Ivan Rakitic (30) serta Mario Mandzukic (32) yang sudah berada di penghujung karier mereka, kehadiran Croatia di pentas akhir Piala Dunia mungkin sukar untuk diulangi masa-masa terdekat ini.

Modrid adalah pemain yang paling menyerlah di antara rakan pasukannya dan beliau masih lagi boleh mendapatkan gelaran pemain terbaik dunia 2018, sekaligus memecahkan genggaman Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Rakyat Croatia turun ke jalanan pada hari perlawanan itu bagi meraikan pasukan kebangsaan mereka walaupun mereka tewas 4-2 di tangan Perancis. Namun jauh di sudut hati mereka, mereka tahu masa depan bola sepak negara itu masih belum terjamin lagi.

Ia adalah permulaan buat Zlatko Dalic sebagai jurulatih, dan beliau berjaya membawa pasukannya ke Rusia di mana mereka menunjukkan antara perlawanan bola sepak terbaik di temasya itu.

Masa depan Dalic, bagaimana pun masih belum jelas walaupun mempunyai kontrak sehingga tahun 2020.

“Saya akan berehat sebentar. Saya tidak pernah membuat keputusan terburu-buru,” ujar jurulatih itu apabila ditanya mengenai kontraknya.

“Pada saat ini saya tidak memikirkan apa-apa pun melainkan untuk kembali ke Croatia dengan selamat dan berehat.”

Tetapi Dalic tahu apa-apa keputusan jangka panjang adalah sukar untuk dibuat di Croatia, di mana mereka masih ditenggelami skandal bola sepak terbesar di dalan sejarah negara itu.

Pada bulan lepas, mahkamah di Croatia menjatuhkan hukuman penjara 6 tahun dan 6 bulan kepada bekas ketua Dinamo Zagreb, Zdravko Mamic di atas kesalahan menipu dan rasuah.

Peguam Negara Croatia turut mendakwa Modric kerana memberi pengakuan palsu di dalam kes itu, satu titik hitam yang besar kepada reputasi pemain itu.

Dengan sumber dan dana yang terhad bagi membangunkan infrastruktur bola sepak di negara itu, tidak hairan lah mengapa Dalic melabelkan kempen Piala Dunia mereka kali ini sebagai satu keajaiban.

“Sesuatu perlu dimulakan, jika tidak sekarang, bila lagi? Kita mempunyai perwatakan dan kebanggaan, tetapi kita perlu menambah baik aspek-aspek lain,” ujar Dalic sebelum sepak mula perlawanan akhir itu.

“Ini adalah masa yang sesuai untuk mengatakan ‘mari lakukan sesuatu’. Sukan telah banyak membawa kegembiraan kepada rakyat.

“Sudah semetinya kita akan dimasukkan ke dalam buku sejarah, dengan keadaan dan infrastruktur di negara halaman, kita adalah satu keajaiban.”

Walau bagaimanapun ia akan memerlukan lebih lagi untuk mengekalkan Croatia di pentas antarabangsa.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker