Bisnes & EkonomiTips Kewangan

4 Cara Untuk Sahkan Kutipan Derma Bukan Penipuan

Kita sering didatangi oleh orang yang mengutip derma ketika berada di kedai makan, tepi jalan, malah di pusat beli-belah yang mendakwa dilakukan untuk golongan tertentu. Walaupun ada yang dilakukan secara sah, terdapat juga mereka yang mengambil kesempatan untuk mengutip derma secara tidak jujur.

Berikut adalah cara yang boleh anda lakukan untuk memastikan jika pengutip derma itu sah atau tidak.

1. Semak di laman web rasmi kerajaan

Setiap badan NGO wajib didaftarkan di bawah Registrar of Societies (RoS). Jadi anda boleh menyemak kewujudan NGO terbabit di laman web RoS. Tetapi tidak semua badan NGO akan ditemui melalui RoS.

Laman web kedua yang boleh digunakan untuk menyemak kewujudan NGO adalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Carian pada laman web ini tidak menggunakan nama sebaliknya nombor syarikat.

2. Minta tunjukkan lesen kelulusan

Sesiapa yang mengutip derma untuk NGO di jalanan perlu mendapatkan lesen daripada polis terlebih dahulu, terutamanya yang mengutip derma di premis-premis tertentu seperti kedai makan atau shopping mall.

Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 ada menerangkan bahawa pengutip derma tanpa lesen boleh dipenjarakan sehingga 5 ribu ringgit atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

3. Minta tunjukkan surat kebenaran

Bagi orang yang meminta derma untuk tujuan kebajikan agama, contohnya untuk masjid dan rumah anak yatim, majlis atau jabatan agama tempatan perlu mengeluarkan surat kebenaran terlebih dahulu.

Surat kebenaran ni akan mengandungi maklumat seperti tempoh masa tertentu dan nama-nama individu yang dibenarkan untuk mengutip derma. Jadi anda boleh meminta mereka untuk perkenalkan diri dan semak nama yang ada pada surat kebenaran tu.

Bagi permohonan kutipan derma untuk membina masjid, mereka juga perlu menyertakan salinan surat pengesahan, lokasi masjid, pelan dan gambar-gambar sebagai bukti. Bagi rumah anak yatim pula, surat kelulusan dan pengesahan yang asal juga perlu dilampirkan.

4. Minta resit atau tanya soalan

Anda boleh terus bertanya sama ada mereka sediakan resit atau tidak. Jika tiada resit, kemungkinan besar derma itu hanya palsu. Resit biasanya mengandungi nombor siri dan cop bagi persatuan tersebut.

Satu lagi cara untuk memastikan kesahihan badan amal tersebut adalah dengan bertanyakan soalan-soalan asas, contohnya nama badan kebajikan, bagaimana duit itu akan disalurkan atau siapa yang akan dapat manfaat daripada duit sumbangan yang dipungut. Jika mereka kelihatan gusar, simpan duit anda dan derma melalui saluran yang betul.

Sumber: LoanStreet

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button