Amerika SyarikatAntarabangsaIsu Semasa

Mengapa Donald Trump Mahu Tubuhkan “Tentera Angkasa”?

Bulan lepas, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengarahkan Pentagon untuk menubuhkan pasukan ‘tentera angkasa’ yang akan menjadi cabang keenam tentera AS.

Tetapi, apa sebenarnya yang mahu dicapai oleh Trump?

Difahamkan, beliau mahu AS “mendominasi ruang angkasa dan melindungi kepentingan negara serta komersial”.

“Saya mengarahkan Jabatan Pertahanan dan Pentagon supaya memulakan proses untuk menubuhkan tentera angkasa sebagai cabang ke-6 angkatan tentera.

“Kita ada tentera udara dan kita juga akan mempunyai tentera angkasa berasingan tetapi sama tahap. Dalam mempertahankan Amerika, kewujudan AS di angkasa sahaja tidak mencukupi, kita mesti mendominasi angkasa,” kata Trump.

 

KESEJAHTERAAN RAKYAT BERGANTUNG PADA KEADAAN ANGKASA?

Menurut pentadbir National Aeronautics and Space Administration (NASA), Jim Bridenstine, rakyat Amerika perlu sedar bahawa kesejahteraan mereka amat bergantung pada keadaan di angkasa lepas.

“Setiap transaksi bank memerlukan isyarat GPS untuk garis masa…Anda akan kehilangan isyarat GPS dan apa yang anda akan hilang juga? Anda tidak akan dapat laksanakan perbankan,” katanya.

Bridenstine berkata, keadaan di angkasa juga tidak jauh beza dengan laut, dan ia adalah “domain antarabangsa yang diperlukan untuk melakukan perdagangan dan ia harus dilindungi”.

Memetik laporan Bloomberg, Bridenstine juga adalah salah seorang individu utama yang aktif mempertahankan Trump, dan beliau telah diamanahkan oleh presiden AS itu untuk mengetuai NASA yang bernilai AS$21 bilion (RM85 bilion).

Walau bagaimanapun, Jabatan Pertahanan AS sudah pun mempunyai beberapa program besar untuk angkasa yang sedang diusahakan dan Tentera Udara pula berpandangan bahawa penubuhan pasukan angkasa adalah tidak relevan dan tidak diperlukan.

PELBAGAI PERKARA PERLU DIPERTIMBANGKAN

Dalam melakukan persiapan, Pentagon menyatakan bahawa lembaga pengarah mereka akan memulakan kerja-kerja berkaitan perkara ini, yang akan memberi kesan terhadap operasi perisikan Tentera Udara, Darat, dan juga Laut.

Tegas Bridenstine pula, penubuhan tentera angkasa tidak akan mengganggu sebarang program atau pembiayaan NASA.

Kini, pelbagai agensi termasuk NASA, Jabatan Perdagangan, Pertahanan, dan Pengangkutan juga sedang menyusun dan mengatur semula semua aktiviti mereka yang berkaitan dengan angkasa, yang dikawal selia oleh Pasukan Dasar Angkasa Rumah Putih.

Namun berdasarkan analisis syarikat strategi Deloitte, peraturan dan undang-undang berkaitan ruang angkasa tidak boleh diubah tanpa mengambil kira pelbagai perkara/pihak lain.

“Dengan setiap peraturan angkasa, kerajaan perlu mempertimbangkan sekurang-kurangnya tujuh peraturan lain, secara purata.

“Tetapi, ia akan menjadi lebih rumit, kerana setiap satu daripada tujuh peraturan itu mempunyai sumber rujukannya tersendiri,” kata pihak Deloitte.

TRUMP MAHU AS KEMBALI KE BULAN

Sementara syarikat-syarikat swasta lain melancarkan pelbagai inisiatif yang melibatkan perdagangan dan pelancongan angkasa, NASA pula memberi tumpuan penuh untuk menerokai bulan, planet Marikh dan seluruh angkasa.

Ujar Bridenstine, Trump berhasrat untuk melihat AS “kembali ke bulan dan terus kekal mapan di sana.”

“Kami tidak akan meninggalkan bulan seperti yang kami lakukan pada tahun 1972,” tambah beliau.

Selain itu, AS juga mempunyai rancangan untuk membina infrastruktur yang kekal “di atas dan keliling bulan”.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker