AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Skandal Rasuah: Bekas PM Pakistan Dijatuhkan Hukuman Penjara 10 Tahun

Bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif telah dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun oleh mahkamah selepas disabitkan bersalah melakukan rasuah.

Memetik laporan AFP, Sharif telah meletak jawatan secara rasmi pada tahun lepas apabila mahkamah memutuskan bahawa beliau telah “hilang kelayakan untuk memegang jawatan dalam kerajaan.”

Hukuman penjara yang dikenakan ke atas beliau turut memberi tamparan yang hebat kepada parti politiknya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum pada 25 Julai tidak lama lagi.

“(Sharif) telah dijatuhkan hukuman penjara dan bayaran denda bernilai¬†¬£8 juta (RM 42.8 juta) kerana membeli hartanah-hartanah mewah di London,” kata peguamnya, Mohammad Aurangzeb.

Sementara itu, pihak pendakwa, Sardar Muzaffar Abas berkata, mahkamah telah mengarahkan kerajaan persekutuan Pakistan untuk merampas semua hartanah yang dibeli oleh bekas perdana menteri itu.

Difahamkan, Sharif dijangka akan pulang ke Lahore, Pakistan pada hari ini, 13 Julai 2018, dan akan terus ditahan oleh polis sejurus tiba di lapangan terbang.

Namun sebelum ini, ramai pihak yang mempersoalkan sama ada beliau akan pulang ke tanah air ataupun tidak, dan menurut penganalisis politik, beliau kini berada dalam kedudukan yang sukar menjelang pilihan raya umum.

“Sekiranya Sharif tidak balik, partinya akan musnah. Jika pulang, beliau perlu menghadapi pelbagai kes dan akan ‘merana’ – namun dengan cara ini, beliau akan menyelamatkan partinya,” kata penganalisis politik, Rasool Bukhsh Rais.

Kini, Sharif telah diharamkan untuk terlibat dalam arena politik buat seumur hidup dan beliau menyerahkan kepimpinan partinya, Pakistan Muslim League-Nawaz (PMLN) kepada adiknya, Shahbaz Sharif.

Pada masa yang sama, Shahbaz turut membantah keputusan mahkamah dan menyifatkannya sebagai “tidak adil.”

“Kami membantah keputusan ini. Ia adalah berdasarkan ketidakadilan. Keputusan ini adalah detik hitam di dalam sejarah negara,” tegasnya.

Keluarga Sharif dan penyokong-penyokong mereka secara kerap telah menafikan segala tuduhan rasuah terhadap dirinya.

Mereka juga berpandangan bahawa Sharif merupakan “mangsa konspirasi yang didalangi oleh pihak tentera yang berkuasa,” yang telah memerintah Pakistan hampir separuh daripada tempoh 70 tahun selepas mencapai kemerdekaan.

 

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker