AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Peranan Asean Penting Dalam Menentukan Keamanan & Kestabilan Semenanjung Korea

Negara-negara Asean memainkan peranan penting dalam usaha membawa keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dalam sebuah ucapan ketika lawatan rasminya ke Singapura.

“Ia adalah satu keperluan untuk mewujudkan peluang bagi Korea Utara untuk memenuhi peranannya sebagai anggota komuniti antarabangsa.

“Sekiranya Korea Utara melaksanakan denuklearisasi dengan penuh keikhlasan, saya berharap negara tersebut akan dipelawa untuk menyertai pelbagai badan perundingan yang dikendalikan oleh Asean, dan pertukaran dua hala serta kerjasama di antara Asean dan Korea Utara akan diperkukuhkan lagi,” katanya.

Memetik laporan Straits Times, Moon, menerusi ucapannya bertajuk “Republic of Korea and Asean: Partners for Achieving Peace and Co-prosperity in East Asia,” telah menggariskan bagaimana gabungan serantau ini boleh membantu dalam menyelesaikan isu nuklear dan menjamin keamanan di Semenanjung Korea.

Beliau turut mengetengahkan pelbagai inisiatif yang telah diambil oleh Asean setakat ini untuk menjaga kedudukan Korea Utara dalam komuniti antarabangsa.

Sebagai contoh, Asean telah menyediakan lokasi untuk mengadakan dialog di antara Korea Utara dan komuniti antarabangsa menerusi Forum Serantau Asean (ARF) sejak tahun 2000 lagi.

Moon berkata, ARF merupakan satu-satunya forum multi-lateral yang menyaksikan penyertaan Pyongyang sekali gus menjadi saluran komunikasi yang penting di antara negara itu dan negara-negara lain di dunia.

Selain itu, Asean, secara konsisten telah menggalakkan Korea Utara untuk menghentikan program pembangunan senjata nuklearnya dan memilih jalan yang membawa kepada keamanan dan kesejahteraan.

Tambah beliau, Asean dan Korea Utara juga pernah menjalinkan hubungan ekonomi yang memanfaatkan kedua-dua pihak sebelum sekatan antarabangsa dikuatkuasakan ke atas mereka sebagai desakan untuk denuklearisasi.

Bukan itu sahaja, malah blok Asean turut menyokong kerjasama ekonomi di antara Pyongyang dan Seoul dengan membenarkan barangan yang dihasilkan oleh kedua-dua negara itu untuk menikmati kadar tarif yang sama dikenakan terhadap barangan Korea Selatan di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Korea-Asean.

“Apabila sekatan antarabangsa ke atas Korea Utara ditarik, selepas ia melaksanakan denuklearisasi secara menyeluruh, kerjasama ekonomi di antara Korea Utara dan Asean akan ‘dihidupkan’ semula,” jelas Moon.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker