Sukan

Modric: Media England ‘Perlu Lebih Rendah Diri’ Selepas Memandang Rendah Croatia

Kapten pasukan Croatia, Luka Modric menegur media-media di England selepas negaranya menang 2-1 ke atas the Three Lions pada awal pagi Khamis.

“Wartawan England, pundit di televisyen, mereka semua memandang rendah kepada Croatia dan itu adalah satu kesilapan yang sangat besar.” Pemain tengah Real Madrid itu memberitahu ITV selepas perlawanan, yang dipetik oleh BBC Sport.

“Mereka perlu lebih merendah diri, dan hormati lawan mereka.

“Semua tohmahan yang kami dapat daripada mereka, dan kami berkata, ‘OK, hari ini kita akan lihat siapa yang akan penat’…Kami tunjukkan kepada mereka bahawa kami tidak penat. Kami mendominasi permainan, dari segi fizikal, mental dan segala aspek.”

Walaupun Croatia dipaksa bermain untuk 30 minit lagi di waktu tambahan buat kali ketiga berturut-turut di pusingan kalah mati, mereka tetap berjaya menepah tempat ke pusingan akhir buat julung kalinya di pentas Piala Dunia, dengan muncul dari belakang untuk menewaskan England 2-1 pada waktu tambahan di Moscow.

Croatia bukanlah sebuah negara kuasa besar di dalam dunia bola sepak seperti Perancis yang bakal mereka hadapi pada hari Ahad nanti, tetapi mereka sama sekali layak berada di peringkat ini,

Selain daripada menang ke atas England, anak buah Zlatko Dalic juga menewaskan Nigeria, Iceland, dan menghancurkan Argentina di peringkat kumpulan, serta mengatasi Denmark dan Rusia menerusi penentuan sepakan penalti di peringkat kalah mati.

Dengan pemain seperti Modric, bintang Barcelona Ivan Rakitic, pemain Inter Milan Ivan Perisic dan penyerang Juventus Mario Mandzukic, ini adalah pasukan Croatia yang tidak boleh dipandang rendah oleh mana-mana lawan pun.

Walaupun begitu, Modric berharap lawan mereka Perancis akan memandang rendah kepada mereka, seperti mana yang England lakukan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker