Isu SemasaTempatan

Malaysia Boleh Rugi RM49.3 Bilion Akibat Serangan Siber

Malaysia berpotensi untuk mengalami kerugian sebanyak AS$12.2 bilion (RM49.3 bilion) dari segi ekonomi, iaitu 4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bernilai AS$296 bilion (RM1.2 trilion) sekiranya terkena serangan siber.

Berdasarkan kajian Microsoft dan syarikat perundingan di Amerika Syarikat, Frost & Sullivan, sesebuah organisasi gergasi di Malaysia boleh rugi AS$22.8 juta (RM92 juta), iaitu 630 kali ganda lebih tinggi berbanding kerugian syarikat biasa.

“Serangan siber telah menyebabkan kehilangan pekerjaan dalam 3 daripada 5 organisasi yang telah menjadi mangsa serangan sejak 12 bulan lalu,” kata Saipan Agarwal, Naib Presiden Pasaran Frost & Sullivan di Asia Tenggara.

Memetik laporan The Sun Daily, kerugian secara langsung adalah dari aspek kewangan manakala kerugian secara tidak langsung pula membabitkan reputasi syarikat yang terjejas.

“Walaupun kerugian secara langsung akibat pecerobohan keselamatan siber adalah kesan yang paling ketara, namun ia masih sebahagian kecil daripada masalah yang lebih besar,” ujar Agarwal.

Sementara itu, pegawai teknologi Microsoft Malaysia, Dr. Dzaharudin Mansur, menegaskan bahawa insiden keselamatan siber boleh menjejaskan kemampuan syarikat-syarikat untuk meneroka peluang baru dalam era digital pada masa akan datang.

“Dunia ekonomi digital bergerak dengan pantas. Ancaman juga adalah benar dan ia menjadi semakin merbahaya hari demi hari.

“Mereka yang bergantung pada (kemajuan) sambungan internet, seperti bandar pintar, kenderaan pandu sendiri (autonomi) dan industri tenaga, mungkin akan terjejas sekiranya tidak mengambil langkah yang betul,” kata Dr. Dzaharudin.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Amirudin Abdul Wahab pula berpandangan bahawa risiko serangan siber akan menyaksikan peningkatan selaras dengan usaha negara untuk bersiap sedia mengharungi era digital.

“Semakin luas sambungan internet dan digitalisasi, lebih mudah bagi semua orang untuk menjadi sasaran. Kita perlu bersedia untuk menghadapi (ancaman) ini dan mencari jalan untuk mengurangkan risiko,” tegasnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker