AntarabangsaAsiaIsu Semasa

“Wild Boars” Diberi Anxiolytic – Ubat Untuk Mengurangkan Kegelisahan

Selepas mengharungi pengalaman perit terperangkap di dalam gua sejak 26 Jun lalu, kesemua 12 remaja Thai dan jurulatih bola sepak mereka akhirnya berjaya diselamatkan pada Selasa.

Memetik laporan New Straits Times, ahli-ahli pasukan “Wild Boars” itu kini sedang berehat di hospital dan berada dalam keadaan normal serta stabil dari segi fizikal dan mental.

Walau bagaimanapun, terdapat dakwaan bahawa mangsa-mangsa tersebut telah diberi “ubat penenang” atau “ubat tidur” ketika mereka dibawa keluar dari gua oleh pasukan penyelamat.

Menjelaskan isu ini, Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha menyatakan bahawa semua mangsa telah diberi satu ubat khas bernama ‘Anxiolytic’ hanya untuk mengurangkan rasa gelisah mereka ketika dibawa keluar melalui laluan gua yang gelap, sempit, dan merbahaya.

Menurut Komander Chaiyananta Peeranarong, penyelam Tentera Laut Thai yang terlibat dalam operasi menyelamat, remaja-remaja itu juga dibawa keluar dengan menggunakan pengusung (stretcher).

“Segelintir daripada mereka tidur, dan sesetengah lagi menggerakkan jari….seperti sedang berada dalam keadaan separa sedar, namun mereka bernafas.

“Tugas saya adalah untuk membawa mereka keluar,” katanya.

Bukan itu sahaja, malah ketika dipindahkan, keadaan mangsa turut dipantau secara berkala oleh doktor-doktor yang ditempatkan di sepanjang laluan gua berkenaan.

 

THAILAND RAIKAN KEJAYAAN OPERASI MENYELAMAT

Kejayaan operasi menyelamat yang diberi gelaran ‘mission impossible’ itu telah diraikan dengan meriah di seluruh Thailand.

Walaupun terperangkap lebih daripada dua minggu, remaja-remaja berusia di antara 11 hingga 16 tahun tersebut berada dalam keadaan yang baik.

“Ini mungkin kerana mereka bekerjasama sebagai satu pasukan, saling membantu antara satu sama lain,” kata pegawai kanan Kementerian Kesihatan, Thongchai Lertwilairatanapong.

 

MANGSA MUNGKIN BERDEPAN PENYAKIT ‘CAVE DISEASE’

Walaupun mangsa-mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil, mereka masih berpotensi untuk menghidap ‘cave disease’ atau ‘penyakit gua.’

Turut dikenali sebagai jangkitan Histoplasmosis, penyakit ini merupakan jangkitan kulat akibat penyedutan spora fungus histoplasma capsulatum yang terhasil daripada najis kelawar dan burung.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), kulat dan penyakit ini boleh tersebar menerusi sebarang bentuk pergerakan tanah.

Histoplasmosis juga adalah penyakit bawaan udara yang boleh tersebar menerusi kulat berbentuk spora yang amat kecil dan tidak dapat dikesan oleh mata manusia, namun ia tidak berjangkit.

 

APA KESAN HISTOPLASMOSIS KEPADA MANUSIA?

Histoplasmosis berpotensi untuk menjejaskan individu-individu yang mempunyai sistem imunisasi badan yang lemah.

Hal ini akan membolehkan penyakit tersebut untuk merebak dari paru-paru ke otak.

Walau bagaimanapun, ia tidak menunjukkan petanda-petanda yang ganjil pada pesakit, tetapi sebaliknya memberi simptom-simptom penyakit biasa seperti:

1. Demam 

2. Selsema dan batuk

3. Kepenatan

4. Sakit badan, kepala atau dada

 

KEHILANGAN SEORANG WIRA

Namun sepanjang operasi menyelamat dijalankan, satu insiden menyedihkan telah berlaku berikutan kematian seorang pesara penyelam Tentera Laut bernama Samran Poonan, 38.

Difahamkan, beliau telah meninggal dunia kerana tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi semasa menghantar tong bekalan oksigen kepada mangsa-mangsa yang terperangkap.

Komander angkatan darat, laut dan udara (SEAL) Thai, Admirak Arpakorn Yuukongkaew berkata, Samarn bersama rakan sekerjanya ditugaskan untuk meletakkan tangki oksigen di sepanjang laluan keluar.

“Dalam perjalanan mereka kembali, Samarn didapati tidak sedarkan diri 1.5km dari pintu gua di dalam air oleh rakan sekerjanya.

“Rakan sekerjanya cuba menyelamatkan Samarn, namun gagal,” kata Admirak.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker