Isu SemasaMalaysiaTempatan

Mengapa Ramai Belia Bukan Bumiputera Enggan Sertai Angkatan Tentera?

Golongan belia kaum bukan Bumiputera didapati berasa berat hati untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana tidak yakin dengan prospek pembayaran gaji dan kenaikan pangkat sekiranya mereka memilih kerjaya dalam bidang ketenteraan.

Memetik laporan Malaysian Access, sesetengah golongan muda ini bimbang jika mereka ditakrifkan sebagai kaum minoriti di dalam angkatan tentera yang dilihat didominasi oleh kaum Melayu.

Menurut seorang belia bernama Robyn Jayne Lopez, gaji yang rendah merupakan faktor utama yang menyebabkan kekurangan penyertaan kaum bukan Bumiputera di dalam ATM.

“Bekerja sebagai anggota tentera dilihat sebagai ‘kelas bawahan’ dan tidak mencerminkan masa depan yang baik kerana gaji rendah yang ditawarkan,” kata Lopez yang juga pemegang Ijazah.

Berdasarkan laman sesawang tentera laut Malaysia, gaji minimum yang ditawarkan untuk pegawai muda adalah RM 1,459.

Bulan Disember tahun lepas, Ketua ATM, Jeneral Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor menyatakan bahawa angkatan tentera menyasarkan peningkatan penyertaan tahunan sebanyak 10% dan amat menggalakkan kemasukan golongan belia pelbagai kaum.

Walau bagaimanapun, seorang wanita berbangsa India yang enggan dikenali berkata, komunitinya merasakan bahawa kaum India di dalam ATM dipinggirkan kerana majoriti anggotanya adalah Melayu.

“Belia bukan Bumiputera tidak mahu menyertai (ATM) kerana bimbang mereka akan dipandang sebagai golongan minoriti.

“Ia adalah lebih baik bagi kami untuk menceburi bidang pekerjaan yang mudah untuk menaiki pangkat, dan tidak memerlukan kami untuk mengharungi keletihan fizikal dan mental,” ujarnya.

Sementara itu, seorang belia bernama Ooi Li Thing berkata, kadar kelahiran rendah, khususnya anak lelaki, di dalam keluarga-keluarga kaum Cina merupakan punca utama yang menghalang komuniti ini untuk menceburi pekerjaan berkaitan ketenteraan.

“Keluarga Cina yang pada kebiasaannya hanya mempunyai satu atau dua anak lelaki tidak membenarkan anak mereka untuk terlibat di dalam ATM kerana ia berpotensi merisikokan nyawa mereka,” katanya.

Menurut seorang pegawai di dalam tentera, pelantikan ahli strategi DAP, Liew Chin Tong sebagai Timbalan Menteri Pertahanan mampu menggalakkan ramai belia Bukan Bumiputera untuk menyertai tentera.

“Mungkin dengan adanya individu bukan Melayu yang memegang jawatan ini, ia akhirnya akan menggalakkan lebih ramai belia daripada komuniti berkenaan untuk menjadi sebahagian daripada angkatan tentera,” jelas pegawai tersebut.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker