AntarabangsaIsu SemasaPolitik

China Beri Pinjaman AS$20 Bilion Untuk Pulihkan Timur Tengah

Presiden China, Xi Jinping akan memberi pinjaman bernilai AS$20 bilion (RM 80.5 bilion) dan tambahan AS$106 juta (RM 426.65 juta) sebagai bantuan kewangan, kepada negara-negara Timur Tengah dalam usaha memulihkan semula pertumbuhan ekonomi di rantau itu.

Bagi mencapai matlamat itu, pinjaman tersebut akan digunakan untuk tujuan pemulihan pelbagai industri termasuk minyak dan gas, serta nuklear dan tenaga bersih.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China telah meningkatkan penglibatan mereka di Timur Tengah memandangkan negara-negara Arab memainkan peranan penting dalam “Inisiatif Belt and Road” yang diperkenalkan oleh Xi.

Program infrastruktur bernilai AS$1 trilion (RM 4 trilion) adalah inisiatif untuk memodenkan Laluan Sutera China  yang memfokuskan kesalinghubungan dan kerjasama dalam kalangan negara-negara di dunia.

Pada zaman dahulu, laluan ini telah menjadi platform perdagangan pelbagai barangan termasuk rempah ratus dan kain di antara Asia, Afrika, Timur Tengah dan Eropah.

Ia mempunyai dua komponen yang terdiri daripada Silk Road Economic Belt yang akan diwujudkan di sepanjang koridor jalan Euroasia dari pantai Pasifik ke Laut Baltik, dan juga Maritime Silk Road abad ke-21.

Memetik laporan Reuters, kedudukan negara-negara Arab di tengah-tengah laluan perdagangan itu menjadikan mereka sebaga ‘rakan kongsi semula jadi’ bagi China.

Xi berkata, pembangunan juga merupakan perkara utama untuk menyelesaikan pelbagai masalah keselamatan di Timur Tengah.

“Kita perlu melayan antara satu sama lain dengan jujur, tidak takut pada perbezaan, tidak lari daripada masalah, dan mempunyai perbincangan yang cukup terhadap setiap aspek dasar luar negara serta strategi pembangunaan,” ujar beliau.

Sementara itu, China juga menawarkan bantuan kewangan bernilai 100 juta yuan (RM 60.43 juta) kepada Palestin bagi menyokong dan membantu pembangunan ekonomi negara itu.

Bantuan kewangan bernilai 600 juta yuan (RM 362.5 juta) turut disalurkan kepada Lebanon, Jordan, Syria dan Yaman.

Bukan itu sahaja, malah China dan negara-negara Arab turut akan menubuhkan konsortium bank dengan dana yang diperuntukkan bernilai AS$ 3 bilion (RM 12.1 bilion).

Namun, hubungan di antara konsortium bank, bantuan kewangan dan pinjaman yang ditawarkan masih tidak jelas.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker