AntarabangsaIsu Semasa

Samsung Buka Kilang Telefon Pintar Terbesar Dunia Di India

Baru-baru ini, syarikat gergasi telefon pintar Samsung telah membuka “kilang telefon pintar yang terbesar di dunia” di negara India.

Memetik laporan AFP, Perdana Menteri India, Narendra Modi menyatakan bahawa pembukaan kilang itu akan membantu dalam mentransformasikan India menjadi hab pengeluaran global.

Dengan jumlah pelaburan bernilai AS$750 juta (RM 3.05 bilion), kilang berkenaan terletak di bandar Noida di kawasan pinggiran di New Delhi, dan ia telah dirasmikan oleh Modi dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in.

Difahamkan, kilang telefon pintar tersebut juga merupakan penambahan kepada fasiliti Samsung yang sedia ada.

“Kilang Noida kini sudah menjadi unit pengeluaran telefon pintar Samsung yang terbesar di dunia,” kata Moon dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Samsung juga meletakkan sasaran untuk menghasilkan kira-kira 120 juta telefon pintar setiap tahun di kilang baru mereka.

Keputusan syarikat tersebut untuk membuka kilang ini dilakukan pada waktu yang amat kritikal memandangkan Samsung kini sedang menghadapi persaingan yang hebat daripada pesaing-pesaing China yang turut mengawal sebahagian besar daripada pasaran luas telefon pintar di India.

Langkah ini turut memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan kempen “Make in India” yang diperkenalkan oleh Modi, di mana ia bertujuan untuk menarik pelaburan asing dan menambah peluang pekerjaan dalam sektor pengeluaran dan perkilangan.

Beliau berkata, kilang Samsung ini akan mewujudkan peluang pekerjaan di Uttar Pradesh, iaitu sebuah negeri miskin yang didiami oleh kira-kira 220 juta orang penduduk.

Parti politik pimpinannya, Bharatiya Janata Party juga dilaporkan telah mencatatkan kemenangan besar di negeri itu pada pilhan raya tahun lepas.

“Ini merupakan langkah yang penting dalam menjadikan India sebagau hab pengeluaran. Ia melibatkan maruah India dan Uttar Pradesh,” ujar Modi.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker