Gaya HidupKerjaya

Lebih Ramai Guru Pendidikan Khas Diperlukan

Kerajaan mahu lebih banyak bakal guru menceburkan diri ke bidang pendidikan khas kerana kini terdapat banyak kekosongan untuk bidang terbabit di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata pendidikan khas adalah antara sektor yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak yang terlibat untuk membantu kerajaan memperbaiki dan mengubah pendidikan negara.

Mengambil Selangor sebagai contoh, Teo berkata pada masa ini ada 56 kekosongan untuk guru pendidikan khas dan 207 jawatan untuk pembantu pengurusan murid di sekolah rendah dan menengah.

“Saya yakin angka (untuk guru pendidikan khas) lebih tinggi untuk seluruh negara. Itulah sebabnya kerajaan menyeru bakal-bakal guru untuk memohon bidang ini dan pada masa akan datang, kami akan mengambil lebih banyak guru dan pembantu pengurusan murid untuk memenuhi keperluan ini,” kata Teo.

Terdahulu, Teo membacakan teks ucapan Menteri Pendidikan Dr Mazlee Malek, yang menggesa orang ramai untuk menyediakan ruang dan peluang yang sama kepada orang-orang yang mempunyai keperluan khusus supaya mereka juga boleh menyumbang kepada negara.

Kemahiran, katanya, dapat membantu orang kurang upaya untuk lebih berdikari tanpa memerlukan bantuan dari orang lain.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan 15 peratus penduduk dunia hidup dengan kecacatan. Angka terkini dari Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah orang berdaftar yang mempunyai keperluan istimewa di Malaysia adalah sekitar 464,672, yang mungkin hanya sebahagian kecil daripada angka sebenar.

Menurut NST, sehingga Oktober tahun lalu, terdapat 78,310 murid dengan keperluan khas yang didaftarkan di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Sejak tahun 1990, Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang signifikan dalam pendidikan khas, terutamanya dalam kurikulum, bekalan guru, pedagogi, serta penubuhan Jabatan Pendidikan Khas, yang kini menjadi Bahagian Pendidikan Khas, suatu klausa pendidikan khusus dalam Akta Pendidikan 1996 dan pengenalan Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997.

Pada masa ini, Malaysia mempunyai 34 sekolah pendidikan khas, 2,272 sekolah kebangsaan yang menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan 4,995 sekolah kebangsaan yang menawarkan Program Pendidikan Inklusif (PPI).

Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013 menggariskan murid-murid keperluan khas adalah terdiri daripada enam kategori iaitu cacat pendengaran, cacat penglihatan, cacat ucapan, cacat fizikal, masalah pembelajaran dan pelbagai kecacatan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker