Isu SemasaMalaysiaPolitikTempatan

GPS Bakal Menghadapi Cabaran Hebat Menjelang PRN Sarawak 2021

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah sebulat suara mengumumkan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 12 Jun lalu sekali gus mewujudkan gagasan baru, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurut pengarah University of Tasmania’s Asia Institute, Prof James Chin, empat buah bekas parti komponen BN itu perlu melakukan penjenamaan semula kerana bimbang akan tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada tahun 2021 nanti.

Beliau berkata, pemimpin-pemimpin parti tersebut mungkin telah terfikir untuk keluar daripada BN sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lagi, apabila melihat menyaksikan kekalahan pertama kali blok itu selepas mentadbir Malaysia selama 60 tahun.

“Terdapat kelewatan selama kira-kira sebulan untuk mengumumkan keputusan itu kerana parti-parti komponen perlu dilihat seperti sedang melalui proses perundingan dengan anggota-anggotanya.

“Tetapi saya rasa pada malam itu (PRU14) sendiri, mereka telah sedar bahawa BN adalah ‘toksik’ dan mereka terpaksa keluar,” katanya.

Memetik laporan The Star, Chin menyatakan bahawa parti-parti Sarawak bimbang akan menempuhi kekalahan pada PRN yang akan datang, lebih-lebih lagi jika kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mempamerkan prestasi yang cemerlang.

“Jadi, mereka perlu melakukan penjenamaan semula. Tetapi ini bukan ‘penjenamaan semula’ yang biasa kerana tiada perubahan dalam barisan kepimpinan parti. Ia hanya perubahan nama dan logo,” jelas beliau.

Kini, kerajaan negeri Sarawak dan Sabah dipimpin oleh parti-parti yang bukan sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

Chin berkata, parti-parti di kedua-dua negeri itu dilihat sudah menjadi “nasionalis Perjanjian Malaysia” dan sesiapa yang pro-Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai masa depan politik.

“Ia amat menarik bahawa ideologi politik di Sabah dan Sarawak pada masa kini adalah nasionalisme kenegerian,” ujarnya.

Walaupun GPS menyifatkan diri mereka sebagai gagasan yang ‘mesra Kerajaan Persekutuan’, ia tetap akan menghadapi cabaran hebat dalam PRN akan datang.

“Ini adalah kerana Pakatan boleh menawarkan apa yang GPS tidak mampu, iaitu pemberian autonomi penuh kepada Sarawak,” tambah Chin.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sarawak, Profesor Madya Dr. Jeniri Amir menyatakan bahawa GPS tidak perlu lagi merujuk kepada kepimpinan Kerajaan Persekutuan seperti sebelum ini dan kini bebas untuk membuat keputusan sendiri.

Tegas beliau, ia juga amat penting baghi gagasan baru ini untuk mengubah strategi dan ideologi politik mereka selaras dengan aspirasi rakyat.

“Jika tidak, rakyat akan melabel mereka sebagai ‘GPS yang tidak mempunyai hala tuju.’ Apa yang penting bagi rakyat adalah perjuangan hak Sarawak dan agar parti melaksanakan janji-janji mereka,” kata beliau.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker