AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Perjuangan Memerangi Rasuah Di China Masih Belum Selesai

Presiden China, Xi Jinping menegaskan bahawa perjuangan memerangi gejala rasuah yang sudah “parah” di negara itu masih belum selesai.

Memetik laporan Reuters, Xi telah mula mengambil langkah drastik untuk membanteras rasuah sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara 6 tahun lalu.

Berikutan itu, puluhan pegawai kanan kerajaan telah ditangkap dan dipenjarakan, termasuk bekas ketua keselamatan yang paling ditakuti, iaitu Zhou Yongkang.

Kini, Xi memberi amaran bahawa parti pemerintah, Parti Komunis kini sedang menghadapi cabaran yang besar dan ia mendatangkan risiko yang besar terhadap kelangsungan (survival) parti itu.

Beliau berkata, sejak kongres ke-18 parti, usaha untuk menguatkuasakan undang-undang disiplin yang lebih tegas telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Namun, Xi masih menganggap usaha itu belum mencapai penghujungnya lagi dan akan diteruskan dalam jangka masa panjang.

“Masalah utama di dalam parti yang perlu diselesaikan adalah pemikiran kolot, politik kotor, serta struktur organisasi dan budaya kerja yang tidak baik,” katanya.

Oleh yang demikian, Xi menegaskan bahawa parti perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Parti perlu mewujudkan satu sistem yang baik untuk melatih, memilih, melantik dan menguruskan pegawai-pegawai.

“Ketika melantik atau menaikkan pangkat seseorang pegawai, perkara yang perlu diberi perhatian adalah integriti dan meritnya, bukan latar belakangnya,” kata Xi sambil menambah bahawa proses pelantikan juga perlu memastikan calon tersebut sesuai untuk memegang sesuatu jawatan itu.

Bukan itu sahaja, malah integriti politik seseorang individu turut menjadi faktor penentu utama dalam pemilihan calon.

Ujar Xi, Parti Komunis akan meningkatkan pengawasan dalaman dan menubuhkan satu sistem untuk memantau tingkah laku anggota daripada aspek “kepercayaan, prestasi, cara kerja, dan integriti.”

Sejak memegang jawatan presiden, beliau dilihat mengukuhkan ‘cengkamannya’ terhadap parti secara berperingkat dalam segala perkara.

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button