Pelantikan ahli-ahli politik untuk memegang jawatan tinggi di dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau badan berkanun bukanlah sesuatu senario yang baru.
Walau bagaiamanapun, ramai pihak berpandangan bahawa mereka tidak sepatutnya dilantik untuk berkhidmat di dalam GLC kerana berpotensi menyalahgunakan kuasa.
Menurut ahli ekonomi, Prof Dr. Edmund Terence Gomez, ahli politik cenderung untuk menggunakan GLC demi mencapai kepentingan politik atau “kepentingan ‘ekonomi’ peribadi mereka.”
Memetik laporan The Star, Prof Gomez yang juga seorang profesor ekonomi politik di Universiti Malaya (UM), menyatakan bahawa pernah berlaku pelbagai kes salah guna kuasa di syarikat berkenaan yang melibatkan ahli politik.
Namun ujar beliau, pengecualian boleh diberi kepada Perdana Menteri, Menteri Kabinet, dan ahli majlis eksekutif negeri untuk berkhidmat dalam GLC dan memainkan peranan sebagai “pemantau.”
Prof Gomez turut menggesa kerajaan untuk melakukan kajian menyeluruh mengenai peranan GLC di dalam negara.
“Kerajaan perlu meneliti semula GLC secara menyeluruh dan menentukan apa yang ia (kerajaan) mahukan daripada mereka sebelum bergerak kehadapan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi ahli ekonomi, Tan Sri Dr. Kamal Salih, berpandangan bahawa dasar ekonomi berdasarkan kaum dimansuhkan kerana ia terbukti telah gagal.
Beliau berkata, alternatif model ekonomi baru amat diperlukan dalam usaha memastikan pengagihan kekayaan yang adil kepada semua orang tanpa mengira bangsa.
Oleh yang demikian, beliau mencadangkan pelaksanaan model ekonomi Islam bagi mengimbangi model ekonomi kapitalis dan sosialis.
“Model ekonomi Islamik bukanlah satu model yang ‘antagonistik’, tetapi ia memerlukan penerimaan daripada kedua-dua masyarakat Islam dan bukan Islam,” katanya.