AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Undang-Undang Keselamatan Siber Vietnam Berpotensi Jejaskan Ekonomi

Bulan lepas, Parlimen Vietnam telah meluluskan undang-undang keselamatan siber berkontroversi yang dikatakan berpotensi untuk menjejaskan ekonomi serta menyekat kebebasan bersuara.

Memetik laporan AP, undang-undang ini mewajibkan syarikat penyedia perkhidmatan seperti Google dan Facebook untuk menyimpan data-data pengguna serta membuka pejabat di Vietnam.

Syarikat-syarikat tersebut juga perlu membuang sebarang kandungan sensitif dalam tempoh 24 jam sejurus selepas mendapat arahan oleh Kementerian Maklumat dan Komunikasi dan jawatankuasa khas di bawah Kementerian Keselamatan Awam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertahanan dan Keselamatan, Vo Trong Viet berkata, undang-undang ini “amat diperlukan untuk melindungi kepentingan rakyat dan keselamatan negara.”

Tegas beliau, peraturan baru ini tidak bercanggah dengan komitmen Vietnam terhadap perjanjian-perjanjian perdagangan multi-nasional seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia dan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), walaupun terdapat pengecualian dari aspek dasar keselamatan negara.

Ujarnya lagi, langkah untuk mewajibkan syarikat-syarikat asing membina pusat data di negara itu mungkin akan meningkatkan kos operasi mereka, namun ia adalah penting dalam memastikan keselamatan siber dan untuk memantau operasi syarikat serta kegiatan pengguna.

“Apabila terdapat tindakan-tindakan yang melanggar (peraturan) keselamatan siber, cara untuk menangani salah laku ini akan menjadi lebih berkesan,” katanya.

Walau bagaimanapun, kelulusan undang-undang keselamatan siber ini mendapat bantahan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, di mana kedua-dua negara itu meminta Vietnam untuk menangguhkan dahulu penguatkuasaannya.

Menurut Kedutaan AS, draf undang-undang itu mengandungi “halangan yang serius terhadap keselamatan siber dan inovasi digital masa depan Vietnam, dan mungkin juga tidak konsisten dengan komitmen perdagangan antarabangsa Vietnam.”

Organisasi hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International pula menyatakan bahawa undang-undang ini akan “membahayakan kebebasan bersuara.”

“Dalam keadaan negara yang sedang tertindas, platform atas talian (online) merupakan ruang untuk orang ramai berkongsi idea dan pandangan dengan kurang rasa takut terhadap kecaman pihak berkuasa,” kata Clare Algar, pengarah operasi global Amnesty International.

Beliau berkata, undang-undang ini memberi kuasa yang luas kepada kerajaan untuk memantau kegiatan atas talian, dan ini bermakna bahawa “tiada lagi tempat selamat di Vietnam yang membolehkan orang ramai bersuara dengan bebas.”

Persatuan Komunikasi Digital Vietnam pula memberi amaran bahawa penguatkuasaan undang-undang tersebut berpotensi untuk mengurangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.7% dan menghapuskan 3.1% pelaburan asing.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button