Isu SemasaMalaysiaPolitikTempatan

UMNO Masih Mahukan Kepimpinan Lama

Pada 30 Jun baru-baru ini, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah memilih bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai presiden baru parti.

Zahid berjaya menewaskan dua orang pesaing rapatnya iaitu ahli veteran UMNO, Tengku Razaleigh (Ku Li) dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Walau bagaimanapun, pakar-pakar politik berpandangan bahawa Pemilihan UMNO 2018 kali ini menunjukkan bahawa lebih daripada 150,000 delegasi masih mahu kepimpinan yang sama.

Ini sekali gus tidak mencerminkan usaha dan semangat yang kuat untuk melakukan perubahan dan penstrukturan semula parti.

Memetik laporan New Straits Times, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Prof Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, menyatakan bahawa delegasi-delegasi hanya mengundi calon-calon yang mereka sudah kenal.

“Delegasi-delegasi dilihat masih tidak berani untuk melakukan perubahan drastik. Pihak luar (penyokong-penyokong berpotensi) juga kecewa dengan barisan kepimpinan baru yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin lama yang hanya memegang jawatan berbeza.

“Malah, perancangan Zahid juga tidak jelas. Anda tidak boleh merasai perubahan khusus atau kukuh yang beliau telah rancangkan,” kata Azizuddin.

Ahad lalu, Zahid pada satu sidang media berkata, UMNO akan melalui penstrukturan semula, dan antara rancangan utamanya adalah untuk meneliti semula piagam, peraturan dan juga jawatan yang sesuai untuk dipegang oleh Khairy dan Tengku Razaleigh di dalam parti.

Menurut Azizuddin, kedua-dua Khairy dan Ku Li mungkin mempunyai perancangan dan visi yang lebih jelas untuk memulihkan parti keramat yang sudah berusia 72 tahun itu.

“Tengku Razaleigh dilihat sebagai seseorang yang paling komited untuk melaksanakan perubahan di dalam parti, sama juga seperti Khairy,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button