AntarabangsaIsu Semasa

Iraq Lancar “Operasi Balas Dendam” Terhadap Militan IS

Pihak berkuasa Iraq telah melancarkan sebuah operasi besar-besaran untuk memerangi serpihan kumpulan militan IS berikutan kemarahan rakyat terhadap kes penculikan dan pembunuhan 8 orang awam yang dilakukan oleh pengganas itu.

Menurut Perintah Operasi Bersama (JOC) Iraq, operasi “Vengeance for the Martyrs” yang mula dilaksanakan pada Rabu, 4 Julai 2018 itu melibatkan gabungan pihak polis, tentera, pasukan khas (special forces), serta pejuang-pejuang Kurdish Peshmerga untuk memburu sel-sel IS di negara itu.

Memetik laporan New Straits Times, mayat 8 orang mangsa yang diculik oleh pengganas telah ditemui hujung bulan lepas di sekitar sebuah jalan raya di utara Baghdad.

Sesetengah mangsa juga pernah muncul dalam sebuah video terbitan IS, di mana mereka diugut untuk dibunuh selagi kerajaan Iraq tidak membebaskan tahanan-tahanan wanita militan.

Dalam pada itu, operasi ini turut disokong oleh pasukan tentera udara Iraq dan serta tentera gabungan yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS), yang pernah menghulurkan bantuan untuk memerangi IS di Iraq dan Syria selepas pengganas itu menawan sebahagian besar kedua-dua negara tersebut pada tahun 2014.

JOC berkata, setakat ini seorang anggota pengganas telah terbunuh sementara 8 orang lagi berjaya ditangkap.

Bukan itu sahaja, malah kenderaan-kenderaan serta senjata milik militan turut dimusnahkan oleh pihak berkuasa.

Disember lepas, kerajaan Iraq telah mengisytiharkan kemenangan apabila berjaya membebaskan semua bandar utama di negara itu daripada cengkaman militan.

Walau bagaimanapun, tentera tetap meneruskan operasi di kebanyakan kawasan pedalaman dan terpencil kerana puak militan didapati masih aktif melancarkan serangan keganasan.

Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi telah berikrar untuk membalas dendam bagi pihak 8 orang orang awam yang dibunuh oleh IS dengan mengeluarkan arahan agar hukuman mati ke atas ratusan anggota militan yang telah ditahan dilakukan dengan kadar segera.

 

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker