Isu SemasaMalaysiaTempatan

“Kalau Taknak Terlalu Formal, Panggil Saya Bro Saddiq”

Di Malaysia, ia adalah satu norma dalam masyarakat kita untuk memanggil wakil rakyat atau menteri sekurang-kurangnya dengan panggilan Yang Berhormat (YB) sebagai tanda hormat, formaliti, dan juga protokol.

Sekiranya seseorang itu telah dikurniakan darjah kebesaran oleh Raja atau Sultan pula, panggilan yang akan digunakan adalah Datuk, Datuk Seri, Tan Sri dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, Menteri Belia & Sukan yang baru, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menjadi perintis dalam mencetuskan budaya baru apabila meminta pegawai-pegawai kementeriannya untuk memanggil beliau dengan gelaran ‘Bro Saddiq’ sahaja.

Ini merupakan pertama kali seseorang menteri tidak mahu dipanggil dengan gelaran formal, dan keperibadiannya yang santai serta mesra rakyat menjadikan beliau amat disenangi oleh orang ramai.

Mengulas lebih lanjut, Syed Saddiq menyatakan bahawa panggilan YB membuatkan beliau rasa “sedikit tua”.

“Panggilan YB bunyi macam ‘tua sikit’. Baik panggil saya Bro Saddiq sahaja,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Belia & Sukan (KBS) perlu bergerak sebagai satu keluarga dengan mengamalkan budaya kerja yang mesra dan santai yang tidak terlalu fokus dengan isu protokol.

Memetik laporan New Straits Times, Syed Saddiq telah memulakan tugasan rasminya sebagai menteri pada Selasa, 3 Julai 2018.

Pelantikannya sebagai anggota Kabinet ini juga menjadikan beliau pemimpin yang termuda dalam sejarah Malaysia untuk menyandang jawatan menteri penuh (full minister), iaitu pada usia 26 tahun.

Ini sekali gus memecahkan rekod bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada 1978 ketika beliau baru berusia 25 tahun.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berhasrat untuk menerapkan budaya kerja baru dengan menjadikan aktiviti senaman sebagai amalan harian.

“Sebelum masuk kerja atau selepas waktu bekerja, kita boleh pergi jogging. Kita nak pupuk budaya bersukan ini bukan sahaja kepada belia berusia bawah 21 tahun tetapi semua rakyat Malaysia, warga KBS khususnya.

“Dulu ketika zaman belajar, kita semua ‘fit’ dan rajin bersukan, tetapi selepas masuk zaman bekerja, perut dah nampak ke depan. Kita kena aktifkan balik budaya sukan dalam kehidupan harian kita,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button