AntarabangsaIsu Semasa

Anak Lelaki Ketua Militan IS Terbunuh Di Syria

Seorang anak lelaki kepada ketua kumpulan militan IS, Abu Bakr al-Baghdadi dilaporkan telah terbunuh di bandar Homs di Syria.

Memetik laporan Reuters, berita berhubung kematian anak Baghdadi bernama Hudayfah al-Badri telah diterbitkan oleh media kumpulan itu pada Selasa, 3 Julai 2018.

“Hudayfah al-Badri…..anak kepada ‘Khalifah’….telah terbunuh dalam sebuah operasi menentang Nusayriyyah dan Rusia di stesen jana kuasa geoterma di Homs,” kata media IS dalam satu kenyataan.

Difahamkan, perkataan ‘Nusayriyyah’ di dalam kenyataan itu merujuk kepada komuniti Alawite di Syria.

Berita kematian Hudayfah di portal IS turut disertakan dengan imej seorang budak lelaki muda memegang senjata raifal.

Dalam pada itu, lokasi Baghdadi juga masih tidak diketahui sehingga ke hari ini, namun kenyataan di saluran berita IS itu seolah-olah menggambarkan bahawa dia masih hidup.

Dilahirkan dengan nama Ibrahim al-Samarrai, Baghdadi yang kini berusia 47 tahun telah berpecah dengan Al-Qaeda, dua tahun selepas tangkapan dan pembunuhan Osama Bin Laden.

Sebelum ini, ketua militan itu telah dilaporkan terbunuh atau cedera buat beberapa kali sejak dia mula mengisytiharkan dirinya sebagai ‘khalifah’ dari sebuah masjid di bandar Mosul Iraq, pada tahun 2014.

Lapor Reuters, terdapat sebuah rakaman audio berdurasi 46 minit yang merupakan mesej terakhir Baghdadi, di mana ia diterbitkan menerusi organisasi media bergelar Al-Furqan pada bulan September lepas.

Dalam pesanan terakhirnya itu, Baghdadi menggesa para pengikutnya di seluruh dunia untuk melancarkan serangan terhadap pihak Barat serta meneruskan perjuangan di Iraq, Syria, dan lain-lain.

 

-Imej terencana sekadar hiasan-

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button