AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Presiden Baru Mexico Ikrar Hapuskan “Kuasa Mafia”

Ahli politik berhaluan kiri, Andres Manuel Lopez Obrador telah meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Mexico pada 1 Julai baru-baru ini, sekali gus bakal dilantik menjadi presiden baru negara itu.

Memetik laporan CNN, Lopez Obrador, yang juga lebih popular dikenali sebagai AMLO, telah menerima kira-kira 53% undian, iaitu dua kali ganda lebih banyak berbanding pesaingnya.

Enrique Pena Nieto, yang masih memegang jawatan Presiden Mexico, turut mengucapkan tahniah kepada AMLO dan berikrar untuk membantunya dalam memastikan peralihan kuasa berjalan dengan lancar.

Difahamkan, AMLO akan memulakan tugasnya sebagai pemimpin baru secara rasmi pada 1 Disember nanti.

APA PERANCANGAN AMLO?

Antara rancangan utama AMLO apabila mula mengambil alih pentadbiran negara nanti adalah untuk menjalinkan “hubungan baru” bersama Amerika Syarikat (AS) yang berlandaskan penghormatan bersama.

Beliau juga berhasrat untuk melindungi rakyat Mexico yang bekerja serta menjalani kehidupan secara sah dan jujur di AS.

AMLO turut berjanji untuk mengukuhkan lagi pasaran tempatan alam usaha memastikan rakyatnya boleh bekerja dan berbahagia di “tempat kelahiran yang terdapat keluarga, adat dan budaya mereka.”

Mexico merupakan salah sebuah negara di dunia yang menyaksikan gejala rasuah, keganasan, pembunuhan, dan dadah yang sudah parah.

Oleh itu, beliau akan berusaha untuk menangani segala kerosakan ini, khususnya rasuah yang telah menjejaskan ekonomi negara.

“Kami sangat pasti bahawa prinsip jahat ini adalah punca utama yang menyebabkan ketidaksamarataan sosial dan ekonomi.

“Kerana rasuah, keganasan telah meletus di negara kita,” tegasnya.

Untuk menangani jenayah pembunuhan yang semakin meningkat, AMLO berikrar untuk menghapuskan “kuasa mafia” yang telah lama mencengkam negaranya, dan akan bekerjasama dengan wakil-wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), organisasi hak asasi manusia dan agama untuk merangka “rancangan keamanan” negara.

PEMIMPIN AS DAN KANADA UCAPKAN TAHNIAH

Presiden AS, Donald Trump telah menyampaikan ucapan tahniah kepada AMLO menerusi laman Twitternya dan mahu menjalinkan kerjasama yang baik dengan bakal pemimpin Mexico itu.

“Terdapat banyak lagi perkara yang perlu dilakukan yang akan memanfaatkan AS dan Mexico,” kata Trump.

AMLO turut menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.

Trudeau berkata, Kanada dan Mexico mempunyai matlamat yang sama, hubungan sesama manusia yang kuat, dan hubungan perdagangan kukuh yang dicemburui oleh seluruh dunia.

“Saya berharap untuk bekerjasama rapat dengan bakal Presiden Lopez Obrador, pentadbirannya, serta Kongres Mexico untuk mewujudkan perkongsian persahabatan yang kuat di antara kedua-dua negara, membina pertumbuhan ekonomi yang sesuai untuk semua orang, serta memperkasakan hak asasi manusia dan kesamarataan,” ujar Trudeau.

PENGUNDI BELIA “PENENTU BESAR” KEMENANGAN AMLO

Pengundi belia dilaporkan telah memainkan peranan yang besar dalam menentukan hala tuju negara dan kemenangan AMLO.

Menurut pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya, hampir 13 juta pengundi berusia di antara 18 dan 23 adalah pengundi pertama kali.

Sementara itu, salah seorang pengundi veteran bernama Maria del Carmen Munoz berkata, dia telah menyokong AMLO sejak beliau bertanding jawatan presiden sebanyak dua kali suatu ketika dahulu, sambil menyifatkan percubaan ketiga ini sebagai “keajaiban.”

“Saya telah menyokong beliau buat tempoh yang lama kerana saya mempercayainya, kerana kerajaan yang kami ada sudah rosak.

“Golongan belia perlu mempunyai seorang pemimpin yang boleh dipercayai. Saya sudah tua, tetapi yang muda perlu mempunyai keyakinan dan kepercayaan terhadap seseorang presiden,” katanya.

Seorang lagi pengundi, Dario Manuel Lopez Pineda pula telah mula menyokong AMLO kerana beliau mempunyai rekod yang baik ketika memegang jawatan Datuk Bandar bagi Bandar Mexico.

“Beliau merupakan pemimpin pertama untuk memberi skim pencen sosial universal kepada warga emas, membina 16 sekolah menengah di kawasan-kawasan marginal (kawasan yang tidak mendatangkan keuntungan).”

“AMLO juga memperkenalkan lesen memandu kekal supaya kerajaan tidak terus mengambil wang daripada rakyat,” ujar Dario.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button