AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Mengapa Ramai Belia Vietnam ‘Bersara’ Pada Usia 30 Tahun?

Ramai pekerja muda di Vietnam dilaporkan terpaksa ‘bersara awal’ disebabkan beberapa faktor.

Menurut Ngo Duy Hieu, ketua Jabatan Buruh di bawah Vietnam General Confederation of Labour (VGCL), terdapat sesetengah syarikat, termasuk syarikat yang ditubuhkan dengan pelaburan langsung asing (FDI), telah menamatkan kontrak pekerja-pekerja berusia 30-an kerana merasakan pekerjaan itu “tidak lagi sesuai” dengan usia mereka.

Salah satu sebab lain adalah segelintir majikan tidak mahu berbelanja wang yang lebih untuk membayar gaji serta keselamatan sosial pekerja.

Memetik laporan Straits Times, Hieu menyatakan bahawa pemecatan ke atas kebanyakan pekerja berusia 30 hingga 35 tahun dilakukan oleh majikan dengan meningkatkan tekanan bekerja atau pemecatan tanpa sebarang penjelasan.

Antara pekerja yang terkesan adalah Hong Hanh, 35, yang pernah bekerja di sebuah syarikat industri di Hanoi.

Hanh terpaksa ‘berhenti kerja’ selepas dia dipindahkan ke unit lain dan mendapati kerja baru itu tidak sesuai untuk dirinya.

Menurut Hanh, dia boleh melihat ‘corak’ bagaimana sesetengah syarikat membuang para pekerja mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an:

1. Tidak memperbaharui kontrak jangka masa pendek pekerja

2. Memberi pekerjaan yang tidak sesuai dengan pekerja kontrak jangka masa panjang dan menekan/memaksa mereka untuk berhenti dengan ‘rela.’

Dalam pada itu, sebuah kajian yang dilakukan oleh VGCL mendapati bahawa 40% pekerja meninggalkan pekerjaan mereka kerana dipaksa untuk bekerja lebih masa, atau gagal untuk mencapai sasaran syarikat yang terlalu tinggi.

Lagi 15% pekerja pula berkata, mereka diberitahu oleh majikan bahawa mereka “tidak layak secara fizikal” untuk melakukan kerja berkenaan, manakala 13% lagi dipecat tanpa sebarang sebab atau penjelasan.

Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Buruh, Pham Mih Huan mengatakan pemecatan pekerja berusia 30 tahun hanya tertumpu kepada satu atau beberapa sektor tertentu sahaja.

“Mengambil atau membuang (pekerja) perlu ditentukan bersama di antara majikan dan pekerja. Dalam ekonomi pasaran, syarikat-syarikat akan mengembangkan pengeluaran dan merekrut pekerja baru apabila mereka meraih keuntungan.

“Tetapi jika mereka (syarikat) menghadapi cabaran pasaran dan perlu mengurangkan pengeluaran, mereka terpaksa membuang pekerja. Perkara ini tidak dapat dielakkan,” kata beliau.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker