Isu SemasaMalaysiaTempatan

Hukuman Berat Menanti ‘Penunggang Agama’

Istilah ‘penunggang agama’ amat sinonim dengan individu-individu yang menggunakan agama sebagai platform untuk kepentingan atau keuntungan peribadi.

Mereka mungkin dilihat ‘alim dan warak’ dari segi penampilan luaran, namun niat dalaman golongan ini tidak langsung menggambarkan kesucian dan kebaikan yang dituntut dalam agama Islam.

Di Malaysia, terdapat pelbagai senario yang menyaksikan penunggang agama ini sanggup berlakon warak demi ‘menghalalkan’ matlamat peribadi mereka termasuk:

1. Meraih keuntungan wang daripada penipuan skim/pakej ibadah umrah dan haji

2. Individu gatal yang menggunakan ‘sunnah nabi’ sebagai alasan untuk berpoligami sedangkan niat mereka hanyalah untuk memuaskan nafsu semata-mata

3. Menggunakan elemen-elemen ‘Islamik’ sebagai gimik untuk melariskan perniagaan dan kemudian menjual produk dengan harga yang tidak masuk akal

Daripada ketiga-tiga contoh yang diberikan, penipuan pakej umrah dan haji merupakan gejala utama yang berlaku secara meluas dalam masyarakat di negara kita.

Penunggang-penunggang agama selalunya menyasarkan penduduk-penduduk kampung atau kawasan pedalaman dan memperdaya mereka untuk membeli pakej umrah/haji dengan harga yang ‘berpatutan’.

Namun selepas wang telah dibayar oleh mangsa, puak-puak penipu ini kemudian akan melesapkan diri buat selama-lamanya.

HUKUMAN BERAT MENANTI PENIPU SKIM UMRAH

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) kini sedang mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas pengusaha pelancongan yang menipu pengguna dengan menawarkan pakej umrah palsu.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC, Haslina Abdul Hamid, selepas melancarkan majlis perasmian B2B Umrah dan Percutian Muslim 2018 anjuran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), pada Isnin.

Memetik laporan The Star, Haslina menyatakan bahawa terdapat sebanyak 359 kes penipuan umrah yang telah dilaporkan kepada kementeriannya sejak tahun 2012 sehingga bulan Mei tahun ini, dengan jumlah kerugian bernilai RM 12.4 juta.

“Kami juga telah mendakwa sesetengah pengusaha pelancongan ini di mahkamah, namun ia akan mengambil sedikit masa kerana kes-kes penipuan ini sangat rumit.

“Ia tidak bermakna jika anda telah menahan pengusaha itu, anda terus boleh mengenakan denda ke atas mereka. Ini juga melibatkan beberapa syarikat yang menggunakan nama syarikat lain, dan menyerahkan lesen kepada pengusaha lain dan sebagainya,” kata beliau.

Namun pada masa ini, Akta Industri Pelancongan 1992 hanya memperuntukkan bayaran kompaun (denda) kepada pengusaha pelancongan yang didapati bersalah.

MOTAC BERGANDING BAHU DENGAN POLIS DAN KPDNKK

Setiausaha Bahagian Pelesenan MOTAC, Hanum Amran berkata, kementerian itu akan mengambil langkah-langkah proaktif menerusi kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta pihak polis.

Langkah-langkah lain termasuk bekerjasama dengan ketua-ketua komuniti seperti ketua kampung dan ahli-ahli jawatan kuasa di kawasan pedalaman untuk mendidik penduduk tempatan agar menjauhkan diri daripada membeli pakej-pakej umrah yang ‘terlalu murah’.

Difahamkan, industri pelancongan umrah dan haji di negara ini bernilai kira-kira RM 2 bilion, dan berdasarkan statistik, Malaysia telah menghantar seramai 290,000 jemaah umrah dan 30,000 jemaah haji ke Mekah pada tahun lepas.

Secara purata, pakej umrah dianggarkan bernilai RM 6,000 setiap seorang,  manakala kos pakej haji pula adalah RM 10,000

Show More

Related Articles

Back to top button