AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Wartawan Filipina Didik Rakyat Perangi Berita Palsu

Filipina mengambil pendekatan unik dalam mendidik rakyatnya untuk memerangi gejala berita palsu yang semakin membimbangkan.

Memetik laporan AFP, rangakaian televisyen utama negara tersebut, iaitu ABS-CBN, melaksanakan sebuah kem latihan media yang bertujuan untuk mengajar orang ramai bagaimana untuk menentukan sama ada sesebuah berita itu adalah benar atau sebaliknya.

Salah seorang ‘guru’ yang mengendalikan program latihan berkenaan adalah wartawan veteran bernama Rowena Paraan.

Difahamkan, inisiatif ini telah dimulakan sejak hujung tahun 2016 lagi dan telah memanfaatkan kira-kira 25,000 peserta.

Bukan itu sahaja, malah latihan ini juga adalah percuma bagi mana-mana kumpulan yang berminat untuk mengambil bahagian.

Ketika sesi pembelajaran, Paraan menunjukkan beberapa tajuk utama berita dan bertanya kepada para peserta sama ada ia benar atau palsu.

Antara tajuk yang diketengahkan adalah “Donald Trump menghantar 5,000 anggota tentera untuk menentang Abu Sayyaf.”

Ramai dari kalangan peserta yang berjaya mengenal pasti bahawa tajuk itu adalah berita palsu, namun Paraan kemudian menunjukkan tajuk berita yang lebih sukar untuk ditentukan kesahihannya.

Walau bagaimanapun, kempen ini ternyata telah membawa perubahan yang positif memandangkan peserta-peserta yang terlibat sudah didedahkan dengan cara yang betul untuk mengenal pasti berita palsu sekali gus boleh memeranginya.

Menangani berita palsu dianggap sebagai salah satu ‘peperangan’ utama di Filipina kerana negara itu menyaksikan aktiviti/kegiatan atas talian (online) yang sangat tinggi.

Menurut sebuah badan perundingan bernama We Are Social, rakyat Filipina meluangkan masa selama empat jam setiap hari dengan melayari media sosial, dan tempoh waktu ini adalah yang terlama di dunia.

Daripada populasi keseluruhan seramai 106 juta penduduk, 69 juta daripada jumlah itu adalah pengguna Facebook – kumpulan keenam terbesar di peringkat global.

Dalam pada itu, Facebook juga menyediakan perkhidmatan internet “percuma tetapi terhad” kepada pengguna-pengguna telefon bimbit di negara-negara membangun termasuk Filipina.

Paraan berkata, perkara ini boleh meningkatkan risiko berita palsu kerana pengguna hanya boleh melihat tajuk berita dan perlu membeli data internet untuk membaca berita penuh.

Ini akan membuatkan pengguna mudah terpedaya dengan tajuk-tajuk berita yang ada kalanya tidak langsung menggambarkan isi kandungan di dalam berita berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button