AntarabangsaAsiaIsu Semasa

PM Jepun Tidak Akan Bertoleransi Dengan Kegiatan Gangguan Seksual

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berikrar untuk tidak akan bertoleransi dengan kegiatan gangguan seksual dan mengarahkan pegawai-pegawai kanan kerajaan untuk menjalani latihan anti-gangguan seksual.

“Gangguan seksual merupakan pelanggaran jelas hak asasi manusia. Ia tidak boleh diterima.

“Kami mengarahkan setiap menteri untuk melaksanakan ‘langkah kecemasan’ (latihan tersebut) dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Jun.

Memetik laporan Straits Times, arahan itu dikeluarkan oleh Abe berikutan skandal membabitkan pegawai kanan Kementerian Kewangan yang didakwa melakukan gangguan seksual ke atas wartawan-wartawan wanita.

Kini, semua anggota birokrat diwajibkan untuk menjalani latihan baru ini sebagai sebahagian daripada syarat untuk kenaikan pangkat, demi memastikan kegiatan gangguan seksual dapat dibendung dengan berkesan.

Abe juga telah meningkatkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja sebagai elemen utama di dalam dasar ekonominya memandangkan Jepun sedang berhadapan krisis kekurangan pekerja.

Namun, inisiatif ini dilihat masih belum mendatangkan hasil memandangkan jumlah kakitangan lelaki yang ‘mendominasi’ pejabat-pejabat awam, lembaga pengarah, serta sektor pendidikan di negara itu.

Sementara itu,  Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Seiko Noda yang juga berkhidmat sebagai menteri pemerkasaan wanita, menzahirkan sokongannya terhadap inisiatif baru ini, di mana semua kementerian turut diminta untuk memperbaiki pengurusan kes-kes salah laku dalam kalangan kakitangan kerajaan.

“Ini tidak memerlukan undang-undang baru. Kita sudah pun mempunyai program-program sedia ada, tetapi ia tidak dikendalikan dengan baik.

“Golongan muda sedang menjalani sesi-sesi latihan ini, tetapi golongan senior yang memegang jawatan tinggi, yang berpotensi untuk melakukan salah laku, perlu sedar bahawa gangguan seksual adalah pelanggaran hak asasi manusia,” tegas beliau.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker