Kesihatan

Orang Yang Obses Berswafoto Ada Masalah Mental?

Individu yang obses berswafoto sehingga sanggup menggadaikan nyawa sendiri kekurangan kasih sayang ketika zaman kanak-kanak, menurut pakar motivasi dan kaunselor Hushim Salleh.

Penilaian tersebut adalah berdasarkan pesakit di pusat kaunselingnya.

“Mereka sebenarnya kesunyian dan didorong untuk mencari hiburan sendiri.

“Mereka ingin menonjol dalam masyarakat tetapi pada masa yang sama, mereka mempunyai masalah psikologi dan personaliti berbeza,” katanya sambil menambah bahawa golongan tersebut juga adalah introvert.

Hushim berkata pesakitnya juga mengakui bahawa mereka tidak kisah jika gambar mereka mendapat kritikan, selagi mereka memperoleh kepuasan mereka.

Pakar psikiatri Universiti Malaya Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid berkata trend berswafoto masih belum dikelaskan sebagai penyakit mental yang kronik tetapi ia telah mencapai tahap yang membimbangkan.

Beliau menambah bahawa ahli psikiatri di seluruh dunia telah mengklasifikasikannya sebagai gangguan mental dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Satu kajian yang dijalankan di United Kingdom dan India ke atas 225 remaja menunjukkan bahawa 65% daripadanya mempunyai masalah Perilaku Selfitis Behavior (SBS),” katanya.

SBS menyatakan bahawa mereka yang mengambil sekurang-kurangnya enam swafoto dan memuat naiknya di akaun media sosial mereka setiap hari diklasifikasikan di bawah selfitis kronik (obses mengambil gambar diri sendiri).

Selfitis akut adalah mereka yang melakukannya sekurang-kurangnya tiga kali sehari manakala selfitis pinggiran adalah mereka yang mengambil swafoto tetapi tidak memuat naik gambar tersebut di media sosial.

Dr Rusdi menambah bahawa perbuatan mengambil swafoto boleh dikaitkan dengan personaliti narsisistik bagi mereka yang telah mengalami masalah psikiatri seperti gangguan kebimbangan dan ketagihan (anxiety and addiction disorder).

Show More

Related Articles

Back to top button