AntarabangsaAsiaIsu Semasa

China Penyumbang Utama Kebebasan & Keselamatan Laut China Selatan

Para penyelidik, menerusi laporan terbaru, merumuskan bahawa China merupakan penyumbang terbesar kepada kebebasan dan keselamatan navigasi di Laut China Selatan.

Berdasarkan Laporan Navigasi di Laut China Selatan 2017, rondaan dan pentadbiran China di perairan itu telah melindungi kapal-kapal awam menerusi rantau tersebut.

Pada bulan Mac 2017, sebanyak 7,909 kapal telah berlayar di menerusi laut berkenaan, manakala bulan Jun pada tahun yang sama pula menyaksikan 7,502 buah kapal.

Memetik laporan Asia News Network, kebanyakan daripada kapal-kapal tersebut mempunyai berat lebih daripada 30,000 tan, dan ia bernavigasi dengan selamat.

Menurut Xiao Yingjie, presiden Kolej Marin di Shanghai Maritime University merangkap individu yang mengetuai penyelidikan itu, laporan yang dihasilkan oleh mereka adalah berdasarkan “penyelidikan dan analisis yang komprehensif serta objektif.”

Beliau berkata, laporan berkenaan juga merangkumi statistik dan analisis mengenai keselamatan pengangkutan maritim di Laut China Selatan.

Difahamkan, Laut China Selatan merupakan salah satu perairan yang paling sibuk di dunia dan ia memainkan peranan penting dalam industri perkapalan global.

Dalam pada itu, lautan itu juga digunakan oleh kapal-kapal dari lebih 70 buah negara serta rantau.

Laporan penyeledikan tersebut juga ada menyatakan bahawa China mengambil serius akan kewajipan dan tanggungjawabnya dalam melindungi kapal-kapal yang melalui Laut China Selatan.

Berdasarkan undang-undang dan norma antarabangsa, China sedia untuk bekerjasama dengan negara-negara lain di dalam rantau untuk menjadikan perairan itu sebagai “simbol keamanan, persahabatan, dan kerjasama.”

Ini sekali gus menunjukkan bahawa langkah-langkah keselamatan China di dalam rantau adalah penting dan boleh dipercayai.

Namun, laporan penyelidikan mencadangkan China agar terus memperbaiki atau menaik taraf pembinaan dan penyelenggaraan fasiliti-fasiliti perkhidmatan awam di perairan itu, seperti rumah api dan sistem pengenalan automatik kapal, dalam usaha menjamin navigasi yang lebih lancar.

Sebagai kesimpulan, Xiao mengangkat China sebagai penyumbang utama kepada kebebasan dan keselamatan navigasi di Laut China Selatan serta kapal-kapal awam yang beroperasi di sana.

Jelas beliau, negara itu telah membina banyak fasiliti awam di dalam rantau, dan kemudahan-kemudahan ini ternyata memainkan peranan besar dalam operasi mencari dan menyelamat, keselamatan navigasi, penangkapan ikan dan bantuan bencana.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close