AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Polis Thailand Rampas Bom Buatan Sendiri Dari Malaysia

Minggu lepas, ketua polis di wilayah Narathiwat, Thailand menyatakan bahawa pasukannya telah merampas 41 butir bom buatan tangan yang dihasilkan di Malaysia dan kemudian diseludup masuk ke negara ini.

Menurut Mejar Jeneral Manas Sikamat, bom tersebut dirampas daripada seorang pemandu trak berusia 39 tahun yang ditahan di pusat pemeriksaan polis di Kampung Saring, Takbai.

Menyokong dakwaan itu, Komander Tentera Wilayah 4 Thailand, Lt Jen Piyawat Nakwanich berkata, bom buatan sendiri itu dipercayai hendak digunakan oleh kumpulan militan untuk melancarkan serangan selepas bulan Ramadan.

“Daripada hasil siasatan, kami mendapati bahawa bom itu diseludup dari Malaysia, tetapi kami perlu menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan sama ada ia diseludup dalam bentuk lengkap atau sebahagian dan kemudian dipasang semula di negara ini,” kata Piyawat.

Memetik laporan The Star, polis juga merampas barang-barang lain daripada trak pikap suspek termasukĀ alat pemasa bagi bahan peledak dan beberapa peranti komunikasi.

MenurutĀ  pegawai Explosive, Ordnance and Disposal (EOD) yang berada di lokasi kejadian, alat-alat tersebut hendak digunakan untuk meletupkan bom-bom itu, masing-masing seberat kira-kira 500 gram, dari jarak jauh dengan menggunakan alat kawalan.

Difahamkan, Piyawat merupakan individu yang diamanahkan oleh kerajaan Thailand untuk menangani pergolakan bersenjata di selatan Thailand.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa bom yang telah dirampas tersebut diseludup ke Thailand melalui “laluan sempadan semula jadi”.

Oleh yang demikian, ramai pihak membuat spekulasi bahawa penyeludup menggunakan Sungai Golok yang amat ‘popular’ dengan kegiatan penyeludupan, untuk membawa masuk bahan letupan tersebut.

Pegawai penyiasat berkata , trak pikap yang membawa bom berkenaan datang dari Sungai Golok sebelum ia ditahan di Takbai.

Pada waktu itu, trak terbabit sedang dalam perjalanan untuk menghantar bahan letupan tersebut kepada seorang individu tidak dikenali di Ranget, Narathiwa.

Ujar Piyawat lagi, pihak berkuasa telah meningkatkan usaha untuk memburu seorang suspek yang dikaitkan dengan rampasan bom buatan itu, di mana dia sempat melarikan diri dan dipercayai sedang bersembunyi bersama rakan-rakannya.

 

Sumber imej terencana: BERNAMA

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker