Isu SemasaMalaysiaTempatan

Militan Masih Cuba Menceroboh Kawasan Perairan Sabah

Demi menjamin keselamatan penduduk Sabah, perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang sepatutnya tamat pada hari ini telah dilanjutkan sehingga 14 Julai.

Memetik laporan The Sun Daily, Pesuruhjaya Ketua Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, penduduk yang menetap di kawasan tersebut perlu berada di dalam rumah dan dilarang memasuki kawasan perairan di antara jam 6 petang sehingga 6 pagi sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut beliau, penguatkuasaan perintah berkurung ini melibatkan kawasan perairan di daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan and Beluran.

“Perintah berkurung ini dilanjutkan bagi memastikan kawasan itu tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik-penyelidik antarabangsa yang melakukan penyelidikan serta pelancong asing yang melawat pulau-pulau peranginan,” kata Ramli.

Tambahnya lagi, langkah ini juga bertujuan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang merupakan pengguna perairan serta penduduk yang berada di kawasan daratan ESSZone.

Perintah berkurung ini akan turut memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta membuatkan pengusaha chalet dan nelayan “berasa selamat dan yakin” dengan adanya kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, Ramli menyatakan bahawa kumpulan militan Abu Sayyaf dan individu-individu yang aktif menjalankan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan dari Selatan Filipina, masih sedang cuba menceroboh untuk meneruskan kegiatan menculik dan jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di kawasan ESSZone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau terdapat keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” jelasnya.

 

-Imej terencana sekadar hiasan –

Show More

Related Articles

Back to top button