AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Universiti Di Indonesia Bakal Tubuhkan Badan Perisikan Di Kampus?

Pada hari Isnin, 122 buah universiti awam di Indonesia telah mengadakan mesyuarat tertutup bersama Agensi Antikeganasan Nasional (BNPT) bagi membincangkan isu institut pengajian tinggi negara itu yang semakin terdedah dengan ideologi radikal.

Dalam usaha menangani dan membendung penyebaran ekstremisme, semua universiti berkenaan akan bekerjasama dengan BNPT untuk menubuhkan sebuah badan risikan khas bagi memantau kegiatan radikalisme di dalam kampus.

Memetik laporan The Jakarta Post, Diwa Aries Tina Pulubuhu, ketua Universiti Hasanuddin di Makassar Sulawesi Selatan berkata, sebuah organisasi khas perlu ditubuhkan untuk mengesan tanda-tanda radikalisme di universiti.

“Kami mendapat maklumat mengenai kewujudan kumpulan radikal yang beroperasi di kampus kami atau seseorang yang ditahan (akibat radikalisasi) daripada berita, bukan daripada BNPT.

“Jadi, kami amat terkejut apabila mendengar berita itu. Kita perlu memperbaiki komunikasi,” katanya.

Menurut Diwa, anggota-anggota badan perisikan yang dicadangkan ini akan berperanan untuk mengenal pasti pergerakan-pergerakan radikal, dan kemudian memaklumkannya kepada BNPT setelah mendapat maklumat.

Ujarnya, langkah ini sekali gus akan menyemarakkan lagi semangat nasionalisme dalam kalangan warga kampus.

“Pengganas mempengaruhi orang ramai dengan ideologi radikal selepas merekrut mereka. Oleh itu, kita juga perlu menyemarakkan lagi semangat nasionalisme dalam kalangan pelajar,” tegasnya.

BERI PELUANG KEPADA PELAJAR UNTUK MENGEKSPRESIKAN DIRI

Sementara itu, pakar pendidikan, Arief Rachman Hakim juga bersetuju universiti-universiti perlu menghapuskan ajaran serta pergerakan radikal.

Walau bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa para pelajar perlu diberi ruang dan peluang untuk mengekspresikan diri mereka.

“Perlu ada ruang yang cukup bagi mereka (pelajar) untuk berkomunikasi dengan kampus dan meluahkan kehendak mereka,” jelas beliau.

UNIVERSITI-UNIVERSITI TERBAIK INDONESIA TURUT TERDEDAH

Pada bulan Mei, BNPT mendedahkan bahawa banyak universiti awam terdedah dengan radikalisme, termasuk beberapa institut pengajian tinggi yang terbaik di Indonesia termasuk:

1. Universiti Indonesia (UI)

2. Airlangga University

3. November Ten Institute of Technology (ITS)

4. Institut Teknologi Bandung (ITB)

Ketika mesyuarat sedang berlangsung, ketua BNPT, Suhardi Alius, menjelaskan kaedah yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan radikal untuk menyebarkan ideologi mereka di kampus serta langkah yang boleh diambil oleh universiti untuk membendungnya.

Namun, perkara itu tidak dimaklumkan secara terperinci kepada media.

“Kami berharap pertemuan ini dapat mewujudkan persefahaman mengenai keadaan semasa dan pendekatan (yang boleh diambil) untuk menangani radikalisme di kampus,” ujarnya.

‘SINAR HARAPAN BARU’

Ketua ITS, Joni Hermana menyatakan bahawa pertemuan bersama BPNT telah memberikan sinar harapan baru kepada universiti-universiti yang mengalami kesukaran untuk menentang radikalisme.

“Sejujurnya, kami telah berusaha menangani isu ini dengan menggunakan pelbagai cara berlainan.

Tetapi dengan adanya pertemuan ini, kami (pihak universiti) bersetuju untuk membendung radikalisme dengan cara yang lebih berkesan,” katanya.

Namun, Joni juga tidak menafikan bahawa usaha ini bukan sesuatu perkara yang mudah untuk dilakukan dan ia perlu dilaksanakan dengan cara yang sewajarnya.

“Ini bukan satu tugas yang mudah. Jika kita mengambil pendekatan lembut, kita akan dituduh melindungi golongan radikal. Tetapi jika kita berkasar, kita akan dituduh melanggar hak asasi manusia,” ujar beliau.

KUMPULAN RADIKAL SASAR PELAJAR CEMERLANG KERANA BERPOTENSI MENJADI ‘KETUA’

Ketua UI, Muhammad Anis turut mengakui kesukaran untuk mengenal pasti pergerakan-pergerakan radikal.

Beliau berkata, kumpulan ini telah lama berdiam diri dan universiti tidak mempunyai kemampuan untuk mengesan bagaimana cara mereka menyebarkan ideologi ekstremis.

Bagi Panut Mulyono, ketua sebuah lagi institut pengajian tinggi tempatan, Universiti Gadjah Mada, kumpulan radikal menyasarkan pelajar-pelajar cemerlang di kampus kerana mereka berpotensi untuk ‘memimpin’.

“Pelajar-pelajar ini bijak, mereka lulus proses kemasukan universiti. Saya boleh kata bahawa mereka ini terpilih.

“Mereka juga mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin; sebab itulah kumpulan radikal menyasarkan mereka,” katanya.

Selain daripada universiti, Panut berpandangan bahawa pergerakan anti-radikalisasi perlu ditubuhkan di kawasan-kawasan lain seperti masjid dan juga asrama.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button