AntarabangsaAsiaIsu SemasaPolitik

Pilihan Raya Serantau Indonesia Dikawal Ketat Oleh Polis & Tentera

Hari ini, puluhan juta rakyat Indonesia mula keluar mengundi untuk pilihan raya serantau yang dikawal ketat oleh pasukan polis dan tentera bagi menjaga keselamatan di semua pusat mengundi.

Memetik laporan Channel News Asia, pilihan raya serantau kali ini menyaksikan pemilihan 171 datuk bandar, kabupaten dan gabenor wilayah sekali gus menetapkan corak pilihan raya presiden dan parlimen (Pilpres 2019) yang bakal berlangsung pada tahun depan.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) dijangka akan memenangi Pilpres 2019 dan mentadbir Indonesia bagi penggal kedua, namun beliau juga mendapat tentangan hebat daripada pemimpin-pemimpin konservatif Islam.

Jokowi telah berikrar untuk melindungi tradisi pluralisme dan Islam sederhana yang selama ini diamalkan di negara itu.

Berdasarkan tinjauan pendapat, para calon daripada parti-parti pro-Jokowi yang bertanding dalam pilihan raya serantau kali ini akan meraih kemenangan besar di wilayah-wilayah utama seperti Jawa Barat.

Terdapat lebih daripada 160 juta rakyat Indonesia sudah berdaftar sebagai pengundi, dan lebih separuh daripada jumlah itu berada di Pulau Jawa.

Populasi di wilayah Jawa Barat pula mencatatkan 47 juta penduduk, di mana ia hampir menyamai jumlah rakyat di Sepanyol.

APA YANG PENGUNDI MAHUKAN?

Seorang pengundi bernama Puti Noviyanda yang mengundi di Bogor, Jawa Barat, menyatakan bahawa pemimpin perlu mengambil langkah-langkah konkrit untuk membantu masyarakat.

“Saya bimbang jika saya memilih calon salah yang menyokong sikap tidak bertoleransi…ika berlaku banjir, kerajaan bandar perlu menggunakan bajet untuk mewujudkan program bagi membendungnya bencana itu, bukan mengadakan (program) ‘berdoa besar-besaran’,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengundi bernama Alif Perdana berharap agar situasi di media sosial akan tenang menjelang pilihan raya presiden nanti.

Rata-rata rakyat Indonesia adalah pengguna tegar media sosial dan sejak kebelakangan ini, gejala berita palsu dan ucapan kebencian semasa kempen politik dilihat berlaku dengan kerap.

KESELAMATAN DIKAWAL KETAT

Kini, negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu sedang berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan pelbagai siri serangan bom berani mati yang dilakukan oleh militan di Surabaya pada bulan lepas.

Polis dan tentera telah mengerahkan ribuan anggota demi menjaga kawasan-kawasan sekolah, dewan bandaraya, serta kemah yang dijadikan sebagai pusat mengundi.

“Kami sedang melaksanakan operasi polis dan telah mengerahkan 171,000 anggota di samping tentera,” kata jurucakap polis, Setyo Wasisto.

Pada minggu lepas, salah seorang penyokong militan IS berprofil tinggi telah dijatuhkan hukuman mati kerana penglibatannya dalam beberapa siri serangan.

Namun pada masa yang sama, pakar memberi amaran bahawa terdapat kemungkinan akan berlakunya serangan balas dendam daripada penyokong-penyokong pesalah.

BILA KEPUTUSAN AKAN DIUMUMKAN?

Pusat mengundi dibuka selama enam jam dan telah dibuka sejak pukul 7 pagi waktu tempatan.

Kiraan undi awal selalunya dimulakan beberapa jam selepas tamat waktu mengundi, dan Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia dijangka akan mengumumkan keputusan rasmi pada 9 Julai nanti.

Show More

Related Articles

Back to top button