Antarabangsa

Islam Di Rwanda: Ibarat Pelanduk Yang Tersepit, Dalam Konflik Yang Dahsyat

Rwanda terletak di bahagian timur benua Afrika.

Mempunyai Kigali sebagai ibu negara, Rwanda secara relatifnya merupakan sebuah negara yang bersaiz kecil jika dibandingkan dengan jiran yang lain di benua itu (26,338 km persegi).

Peta yang memaparkan lokasi negara Rwanda di timur benua Afrika

ISLAM DI RWANDA

Islam merupakan agama minoriti terbesar di Rwanda, merangkumi sekitar 4.6% daripada keseluruhan populasi berjumlah 11,262,564 (data tahun 2015).

Sejarah kehadiran Islam ke sana dapat dijejaki seawal kurun ke-18, apabila pedagang Islam dari luar datang ke Rwanda dari Pantai Timur Afrika.

Sekitar waktu yang sama juga, penjarah Kristian turut hadir ke negara itu membawa misi kristianisasi, dan dalam pertembungan tersebut, mereka berjaya mendoktrin majoriti warga Rwanda menganuti agama Kristian.

Warga Muslim Rwanda yang dijulang sebagai wira selepas konflik berdarah di negara itu pada tahun 1994

KONFLIK BERDARAH

Naratif kehidupan warga Muslim di Rwanda tidak bergemerlapan disinari cahaya pelangi, unicorn dan sang bidadari yang melagukan lagu merdu sambil bermain harp.

Sebaliknya, mereka menempuh fasa sukar, apabila terpaksa melalui zaman perang etnik pada tahun 1960-an, yang memuncak pada tahun 1994.

Tiada naratif berpelangi bagai di Syurga buat warga Muslim di Rwanda

Pada sekitar tahun 1960-an, Menteri bernama Isidore Sebazungu mengarahkan pihak kerajaan membakar pusat-pusat Islam di Rwamagana, sebagai melancarkan kempen kekerasan terhadap Muslim di negara itu.

Kesannya, ramai warga Muslim terpaksa melarikan diri ke negara-negara jiran.

Namun, insiden tahun 1960-an itu hanyalah cebisan kecil magma dari “gunung berapi”, yang dalam masa mendatang akan meluahkan lava peperangan etnik yang dahsyat dan mengorbankan ratusan ribu – kalau bukan jutaan – nyawa manusia!

Dekad demi dekad berlalu semenjak kempen anti-Islam pada 1960-an, dan akhirnya “gunung berapi” yang ibarat sebuah bom jangka itu mula memuntahkan lava pada tahun 1994, dalam malapetaka bergelar Rwandan Genocide of 1994.

Foto mengerikan yang memaparkan tengkorak mangsa kekejaman konflik di Rwanda pada 1994. Sumber gambar: CNN

LATAR BELAKANG RWANDAN GENOCIDE OF 1994

Bagi memahami konflik di Rwanda pada tahun 1994, seeloknya diimbas sedikit latar belakang sosio budaya negara itu. Ketika era kolonial sehingga pertengahan kurun ke-19, ada dua pihak yang bertelagah di Rwanda. Mereka ialah:

  1. Tutsi
  2. Hutu

TUTSI

Tutsi merupakan etnik minoriti elit di Rwanda, berjumlah sekitar 14% daripada keseluruhan populasi. Meskipun minoriti, mereka mempunyai pengaruh ke atas politik dan ekonomi negara itu.

Maka tidak hairanlah jika Tutsi – menurut majalah The Economist dalam “The Tutsis: The Jews of Africa” – digelar sebagai kaum “Yahudi di Afrika”

Majalah atas talian The Economist dengan judul The Tutsis: The Jews of Africa

HUTU

Hutu, atau Abahutu pula merupakan etnik terbesar di Rwanda, berjumlah sekitar 85% daripada keseluruhan populasi.

Meskipun kaum Hutu ini ramai dari segi jumlah, namun hakikatnya – menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam “Rwanda: A Brief History of the Country” – mereka menduduki kelas yang lebih rendah berbanding Tutsi.

Jurang dan prejudisma adalah sangat buruk, sehingga seorang Hutu yang berharta, samada mempunyai banyak ternakan atau sebagainya boleh diasimilasi dan diterima sebagai anggota dalam kumpulan Tutsi, dan Tutsi yang miskin pula dicemuh sebagai Hutu.

Kaum Hutu di Rwanda yang terlibat dalam konflik 1994

BAGAIMANA KONFLIK MELETUS?

Seperti juga konflik melibatkan etnik dan agama di tempat lain, apa yang diperlukan untuk meledakkan “gunung berapi” atau “bom jangka” sosio budaya, hanyalah satu insiden yang boleh mengejutkan semua orang dari lena mereka.

Di Rwanda, insiden itu berlaku pada 6 April, 1994.

Memetik www.history.com dalam siaran berjudul “Rwandan Genocide”, pada tarikh itu, sebuah pesawat yang menerbangkan Juvénal Habyarimana dan Cyprien Ntaryamira telah ditembak di udara, di kawasan Kigali iaitu ibu kota Rwanda, dan insiden itu meragut semua nyawa semua di dalam pesawat.

Habyarimana ialah Naib Presiden Rwanda berasal dari golongan elit Hutu, manakala Cyprien Ntaryamira pula ialah Presiden negara Burundi, yang berjiran dengan Rwanda di bahagian selatan.

Juvénal Habyarimana yang menjadi mangsa kejadian pesawat terhempas, merupakan punca meledaknya konflik. Sumber gambar: New York Times

Hanya satu jam selepas insiden, Presidential Guard, pasukan tentera (FAR) dan paramilitari Hutu yang terdiri daripada Interahamwe serta Impuzamugambi, telah bersatu dan membuat sekatan jalan raya. Mereka juga mula membunuh orang-orang Tutsi serta orang Hutu yang “liberal”.

Fasa perang etnik ini, menurut history.com lagi, telah mewujudkan ruang “vakum” yang kemudiannya diisi oleh kerajaan interim (sementara) dari kalangan tentera ekstremis puak Hutu.

SIAPAKAH DI SEBALIK TABIR KONFLIK?

Pihak yang disyaki terlibat secara halus dalam kempen itu – menurut wartawan Emily Wax dalam “Islam Attracting Many Survivors of Rwanda Genocide” – adalah pihak tertentu yang berkepentingan dari sudut agama.

Antaranya, Wax mendedahkan: –

“(Beberapa) kumpulan hak asasi manusia telah mendokumenkan beberapa insiden yang mana didapati (pihak tertentu dari kalangan sesebuah agama) telah memberikan kebenaran kepada kaum Tutsi untuk berlindung dalam (pusat ibadat mereka).

Namun selepas itu, mereka menyerahkan pula pelarian Tutsi itu kepada skuad bunuh puak Hutu…terdapat juga kejadian menyaksikan (ahli agama mereka) memberikan galakan kepada masyarakat dan pengikut supaya membunuh puak Tutsi.”

TANGAN-TANGAN ASING DALAM KONFLIK DOMESTIK DI RWANDA

Seperti konflik lain di serata dunia, Rwandan Genocide of 1994 turut didalangi oleh beberapa pihak dari luar.

Ini diakui oleh seorang penulis bernama Sever Plocker, yang menulis bahawa: –

“Adalah satu stigma (dan tohmahan) apabila menyebut tentang mana-mana kempen pembunuhan besar-besaran didalangi oleh (kaum tertentu dari luar). Malangnya, dalam kes di Rwanda, (kaum tertentu dari luar) memang terlibat di sana.”

Pedagang dan peniaga senjata yang dikendalikan oleh sesebuah kuasa dan negara luar, merupakan antara pihak yang terlibat dalam konflik di Rwanda

MUSLIM: TERSEPIT NAMUN MENJADI WIRA

Dalam pada peperangan dahsyat meletus di antara Hutu dan Tutsi, kaum Muslim pula, yang tersepit dalam konflik, memainkan peranan yang mulia apabila membantu semua mangsa-mangsa.

Emily Wax mendedahkan lagi, bahawa “(selepas konflik), ramai warga Muslim yang diberikan penghormatan kerana memberi perlindungan kepada mangsa-mangsa yang cuba melarikan diri sewaktu peperangan.

Segelintir melihat bahawa tindakan mulia ini didorong oleh sifat Islam itu sendiri yang memberi erti “selamat” dan menentang sebarang bentuk pembunuhan.

Segelintir yang lain pula melihat bahawa tindakan ini berlandaskan kepada faktor demografi Muslim Rwanda yang tidak terpengaruh dengan kempen pembunuhan oleh puak Hutu, dan mereka tidak takut untuk melaksanakan tindakan yang diyakini sebagai satu bentuk kemuliaan.”

Turut didedahkan dalam rencana beliau ialah, selepas konflik semakin ramai warga Rwanda memeluk Islam.

Kebanyakan memilih Islam selepas melihat peranan yang dimainkan oleh pihak ekstremis agama tertentu dalam kempen pembunuhan besar-besaran Rwanda tahun 1994.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button